Rafizi dedah formula yakin PH menang #PRU15



PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) boleh menang pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) sekiranya 70% pengundi tegarnya keluar mengundi, kata bakal timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli.

Dalam kenyataan di Facebooknya hari ini Rafizi berkata, jumlah peratusan keluar mengundi itu adalah peningkatan 10% daripada purata 60% pengundi yang keluar mengundi sedia ada sejak beberapa pilihan raya negeri.


Rafizi berkata, PH boleh menawan kembali Putrajaya sekiranya gabungan pembangkang itu berjaya mendapat 30% jumlah pengundi kali pertama pelbagai kaum dan berjaya memikat kembali 5% pengundi atas pagar yang beralih sokongan selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Beliau secara rasmi turut mengumumkan akan memulakan kempen PRU15 pada 1 Julai ini selepas kembali ke arena politik.

Bekas ahli Parlimen Pandan juga menjangkakan Dewan Rakyat akan dibubarkan seawal Ogos atau September 2022 untuk membolehkan Bajet 2023 dibentangkan oleh kerajaan baharu.

Katanya, tumpuannya dalam siri kempennya ialah mendekati pengundi tegar PKR dan PH di kerusi-kerusi utama yang perlu dipertahankan selain mendekati pengundi atas pagar dan pengundi pertama kali dalam kalangan individu bawah 25 tahun.


“Saya akan berkempen menggunakan pentas Ayuh Malaysia memandangkan tahap kelesuan pengundi terhadap parti-parti sedia ada adalah tinggi.

“Kempen akan bermula dengan satu latihan peringkat nasional kepada sukarelawan-sukarelawan Ayuh Malaysia yang akan diadakan pada 2 Julai nanti dari jam 2 petang ke 5 petang di Kuala Lumpur.

“Kami meletakkan sasaran 30,000 sukarelawan dari seluruh negara untuk berkempen bagi PKR dan PH di kerusi-kerusi marginal,” katanya. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram