Hadi salahkan UMNO penubuhan MN tertangguh



PETALING JAYA: Presiden PAS Abdul Hadi Awang mendakwa sikap pemimpin Umno yang menimbulkan masalah menyebabkan penubuhan Muafakat Nasional (MN) tertangguh sehingga kini.

Katanya, masalah itu termasuk cubaan beberapa pemimpin Umno mewujudkan jajaran baharu (selain dengan Perikatan Nasional) menyebabkan kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin yang turut dianggotai pemimpin daripada parti itu terkubur pada Ogos 2021.

Timbalan pengerusi PN itu berkata, pihaknya memilih Muhyiddin sebagai calon perdana menteri susulan kejatuhan Pakatan Harapan (PH) dua tahun lalu kerana Ahli Parlimen Pagoh berkenaan sudah berada dalam kerajaan PH sebelum itu.

Katanya, Umno waktu itu enggan menyertai gabungan PN dan hanya mahu bekerjasama dengan PAS yang kemudian mengusulkan penyertaan Bersatu ke dalam MN.


“Bila kita tekan baru Umno setuju terima Bersatu, sampai masa hendak lancar dia (Umno) minta tangguh, bukan kita tangguh dan sekarang tak boleh hendak buat lagi.

“Umno buat masalah dan cuba buat penjajaran baharu. Demi pertahan PN, Muhyiddin letak jawatan PM…ini bukan mudah dan bertolak ansur terima PM daripada Umno,” katanya berucap pada majlis pelancaran PN Terengganu malam tadi.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Marang itu berkata, Muhyiddin ketika menjadi perdana menteri melakukan pelbagai dasar memberi manfaat kepada rakyat yang berdepan krisis ekonomi dan kesihatan meruncing susulan penularan Covid-19.

“Ketika PN perintah kita hadapi masalah wabak dan ekonomi yang turut melanda seluruh dunia bukan hanya Malaysia, tetapi dia (Umno) pukul (tuduh) kita seolah-olah tidak boleh (mentadbir).

“Rakyat kena tahu (ketika memerintah negara) PN sudah menunjukkan banyak bukti (tadbir dengan baik),” katanya. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram