Najib lantik Zaid Ibrahim ketuai rayuan akhir kes SRC International



PETALING JAYA: Najib Razak melantik pasukan pembelaan baharu yang diketuai oleh bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim untuk mewakili pasukan pembelaan dalam rayuan terakhirnya terhadap sabitan kes SRC International.

Dalam surat kepada Mahkamah Persekutuan, bekas peguamnya dari firma Shafee & Co memaklumkan mahkamah bahawa Najib telah melepaskan mereka.

“Perayu ingin memaklumkan bahawa beliau telah melantik Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners sebagai peguamcara,” kata Shafee & Co.


Mahkamah Persekutuan dijadualkan mendengar rayuan akhir Najib bagi tempoh 10 hari bermula 15 sehingga 26 Ogos depan.

Peguam Shafee Abdullah sebelum ini mengetuai pasukan peguam yang membela Najib dalam kes SRC International.

Tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada Julai 2020 untuk mensabitkan Najib atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram lebih RM42 juta milik SRC International yang dimasukkan ke akaun banknya.

Ia juga mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. Bagaimanapun, bekas perdana menteri itu dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan.


Zaid berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Kota Bharu dari 2004 hingga 2008, sebelum dilantik sebagai menteri Kabinet bawah perdana menteri ketika itu Abdullah Ahmad Badawi.

Sebagai menteri undang-undang ‘de-facto’, beliau membantu menyelesaikan bayaran ganjaran kepada bekas Ketua Hakim Negara Salleh Abas dan lima lagi bekas hakim Mahkamah Agung yang dipecat pada 1988 berikutan krisis perlembagaan.

Sebelum menceburi politik, beliau memiliki firma guamannya sendiri bernama Zaid Ibrahim & Co. Beliau lantang dalam isu-isu negara, terutamanya yang menjejaskan undang-undang dan Perlembagaan. – FMT




Join our Telegram Channel
Telegram