Peguam baharu Najib mohon tangguh tarikh dengar rayuan akhir SRC



PUTRAJAYA: Peguam baharu Najib Razak memohon Mahkamah Persekutuan menangguhkan pendengaran rayuan terakhirnya terhadap sabitan kes SRC International di mahkamah itu, yang dijadualkan bermula 15 Ogos ini.

Firma guaman Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners berkata, ia susulan pertukaran peguam yang mewakili Najib.

“Kami dengan rendah hati memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan atau pengurusan kes dengan segera untuk membolehkan peguam memberi dan mengemas kini serta mendapatkan arahan lanjut dari mahkamah.”

Firma guaman itu meminta mahkamah menetapkan pengurusan kes pada 29 Julai ini.


Hari ini, peguam terdahulu Najib dari Shafee & Co memaklumkan Mahkamah Persekutuan bahawa bekas perdana menteri itu sudah melantik pasukan pembelaan baharu.

Rayuan terakhir SRC International dijadualkan didengar di Mahkamah Persekutuan selama 10 hari dari 15 hingga 26 Ogos ini.

Pada 2020, Najib disabitkan bersalah atas tujuh pertuduhan penyalahgunaan kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang berkaitan RM42 juta milik SRC International yang dimasukkan ke akaun banknya.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. Beliau dibenarkan ikat jamin sementara menunggu pendengaran di Mahkamah Persekutuan.


Hisyam Teh wakili Najib

Firma guaman itu turut memberitahu mahkamah, peguam kanan Hisyam Teh Poh Teik akan mewakili Najib, menggantikan Shafee Abdullah, dalam rayuan itu.

Shafee mengetuai pasukan pembelaan Najib dalam kes SRC International di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Hisyam, yang mempunyai pengalaman 45 tahun, kini mewakili Ahmad Zahid Hamidi dalam kes rasuah bekas timbalan perdana menteri di Mahkamah Tinggi.

Hisyam pernah mewakili wanita Vietnam, Doan Thi Huong, yang didakwa membunuh Kim Jong-nam pada 2017. Wanita itu didakwa bersama warga Indonesia, Siti Aisyah atas kesalahan itu, tetapi pihak pendakwaan menarik balik tuduhan membunuh ke atas Siti.


Doan kemudiannya mengaku bersalah atas pertuduhan alternatif menyebabkan kecederaan terhadap Kim dengan melumurkan agen saraf VX pada mukanya di balai pelepasan klia2.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun kepadanya. Doan pulang ke Vietnam pada 2019 selepas selesai menjalani hukumannya.

Zaid Ibrahim Suffian TH Liew turut memberitahu mahkamah, mereka tidak akan meneruskan rayuan untuk mendapatkan Peguam Diraja dari UK, Jonathan Laidlaw bagi berhujah untuk rayuan SRC International.

Minggu lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Laidlaw untuk diterima masuk ke mahkamah di sini bagi mewakili Najib. – FMT


 

Join our Telegram Channel
Telegram