Petani kantoi tanam 34 pokok ganja dalam kebun sayur (6 gambar)



SIBU: Taktik lima individu menggunakan kebun sayur untuk menyembunyikan kegiatan penanaman ganja di Sungai Bidut dekat sini terbongkar dalam serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sibu Rabu lalu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Mancha Ata, berkata kelima-lima individu berumur 29 hingga 59 tahun itu terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita tempatan serta seorang lelaki dan seorang wanita warga asing.

Beliau berkata, polis turut merampas 34 pokok ganja berketinggian antara 0.6m dan 2.13m dianggarkan bernilai RM56,346 pada serbuan antara 7.30 pagi hingga 3.30 petang itu.


“Sebuah kereta bernilai RM40,000 yang digunakan suspek disita mengikut Seksyen 25 Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988,” katanya pada sidang media.

Menurutnya, semua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan hanya lelaki tempatan berkenaan didapati positif dadah jenis tetrahydnocarrabinol.

Mancha berkata, semua mereka direman dua hari bermula semalam bagi siasatan mengikut Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala lelaki tempatan itu turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) akta yang sama kerana mengambil dadah. – FMT












Join our Telegram Channel
Telegram