Wanita ditikam selepas tolak pelawaan dating



MELAKA – Polis Melaka sedang memburu seorang lelaki yang dipercayai menikam bekas kekasihnya selain turut mencederakan rakannya di kawasan kaki lima sebuah hotel di Jalan Tun Sri Lanang, di sini lewat petang tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian terbabit pada jam 6.26 petang yang memaklumkan terdapat seorang wanita ditikam seorang lelaki.

Menurutnya, sepasukan polis kemudian dikejarkan ke lokasi sebelum mendapati mangsa telah dicederakan oleh teman lelakinya berusia 22 tahun, selain rakannya turut mengalami kecederaan.

“Berdasarkan soal siasat, kedua-dua mangsa wanita berusia 23 dan 25 tahun itu mendakwa sedang berjalan kaki balik dari tempat kerja di hotel berkenaan.


“Tiba-tiba, mereka didatangi suspek berusia 22 tahun iaitu bekas teman lelaki kepada mangsa wanita berusia 23 tahun dan terus mengeluarkan senjata dipercayai pisau untuk menikam teman wanitanya.

“Wanita itu bagaimanapun sempat menahan tikaman itu menggunakan tangannya namun pisau turut terkena pada bahagian kakinya,” katanya ketika dihubungi Malaysia Gazette di sini malam ini.

Menurutnya, dalam keadaan panik itu rakan wanita terbabit cuba membantu menyelamatkan mangsa yang sudah terjatuh namun dia turut cedera di bahagian telinga akibat terkena pisau suspek.

“Kedua-dua mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Melaka dan wanita 23 tahun itu tempatkan di Zon Merah, namun keadaannya stabil, manakala rakannya turut luka di bahagian telinga kiri


“Kejadian dipercayai berpunca apabila mangsa menolak ajakan bekas teman lelakinya untuk keluar bersama setelah wanita itu memutuskan hubungan mereka kira-kira dua minggu lalu,” katanya.

Hasil siasatan awal, Christopher berkata, suspek dipercayai menaiki sebuah kereta berdasarkan nombor kenderaan yang digunakan yang di cam saksi di tempat kejadian.

“Gambar suspek juga telah diperolehi dan usaha mengesan lelaki itu sedang giat dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan D7, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah.

“Siasatan masih diteruskan dan setakat ini kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah,” katanya. – MG

 

Join our Telegram Channel
Telegram