Walaupun perjuangan dan hasrat PAS untuk mengangkat serta melaksanakan hukum hudud masih belum tercapai. Saban tahun kerajaan negeri pimpinan PAS sekadar berpuas hati dan bermegah dengan meraikan sambutan Hari Hududullah peringkat negeri.
Pada tahun ini penganjurannya kali ke-17 diadakan dalam usaha PAS memberi kefahaman dan penjelasan berhubung pelaksanaan undang-undang Islam atau hukum hudud.
Pada sambutan yang berlangsung semalam, pihaknya penganjur kali ini menampilkan beberapa acara antaranya forum bertajuk "Undang-undang Islam: Celaru dan keliru?", ceramah, pameran dan demonstrasi sebatan oleh Jabatan Penjara Malaysia dan pemeriksaan kesihatan percuma.
Dianggarkan lebih 500 hadirin yang menghadiri sambutan kali ini terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk guru dan pelajar-pelajar pondok.
Pengisian kemuncak pula diakhiri dengan majlis perasmian oleh Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob.
Ahmad dalam ucapannya antara lain memberi penegasan terhadap isu gejala sosial yang mempengaruhi rakyat Kelantan.
Menurutnya, Kelantan juga terkena tempias selepas kebudayaan barat mendominasi setiap aspek kehidupan masyarakat.
"Oleh itu kerajaan Kelantan tidak berdiam diri, mengambil langkah drastik untuk mengekang penularan ini daripada menjadi darah daging dan budaya masyarakat Kelantan.
"Kerajaan negeri menggariskan dasar pencegahan gejala sosial, dasar pendidikan rabbani dan budaya komuniti rabbani di bawah budaya yang ketujuh iaitu budaya amal makruf nahi mungkar.
"Selain itu kerajaan menguatkuasakan undang-undang baru iaitu Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1 (2019) yang mula dikuatkuasakan pada November 2021," katanya.
Sementara itu Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Mohd Nassuruddin Daud berkata, kerajaan negeri mengambil sikap dan peranan untuk menjadikan sistem perundangan Islam dilaksanakan seperti yang tercatat di dalam al-Quran.
"Program yang disusun dengan ceramah, forum dan pameran ini bertujuan memberi penjelasan berkenaan dengan isu perundangan Islam yang semakin berlegar-legar dalam masyarakat awam hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel