Tuan Ibrahim mengelak jawab isu PAS lupakan hudud dibangkitkan Muhyiddin



Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini mengelak daripada menjawab isu hudud ketika beberapa pemimpin Perikatan Nasional mendakwa mereka tidak lagi bercakap mengenainya selepas menjadi kerajaan.

Ditemui media di Kota Bharu hari ini, Tuan Ibrahim sebaliknya meminta media menumpukan soalan mereka kepada isu air dan tandas sesuai dengan tujuan lawatan rasminya.

"Saya fikir kita selesaikan isu air dulu. Isu yang kita bawa kali ini adalah isu yang - walaupun orang sebut tandas - dari segi impak kesihatan ia sangat besar.


"Sebab itu kalau boleh kita fokus yang ini dulu," katanya pada sidang media di Madrasah Haji Junoh, Kampung Paya Keranji.

Ahli parlimen Kubang Krian itu hadir untuk merasmi dan menyerahkan projek menambah baik kemudahan tandas rumah ibadah.

Semalam ada dua pemimpin Perikatan Nasional (PN) - yang disertai PAS - menyatakan bahawa pemimpin parti itu kini tidak lagi menyuarakan isu pelaksanaan hukum hudud selepas menjadi kerajaan.

Mereka ialah Pengerusi PN yang juga Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, dan Presiden Gerakan Dominic Lau. Kedua-dua mereka menyatakan hal itu di majlis makan malam anjuran ahli perniagaan Cina di Johor Bahru.

Muhyiddin - dalam usahanya meredakan kebimbangan pengundi Cina terhadap kerjasama Bersatu dengan PAS - bertanya bertanya kepada hadirin sama ada mereka masih mendengar tentang "potong-potong" dibangkitkan PAS, merujuk kepada pelaksanaan hukuman hudud.


"Ada orang Cina takut PAS... takut cerita ‘potong, potong, potong’.

"Ketika saya jadi perdana menteri, dalam parti saya dulu pun ada PAS. Tiga menteri PAS. Sekarang pun tiga menteri PAS. Ada beberapa timbalan menteri PAS.

"Ada dengar dia cerita ‘potong-potong’? Tak ada lagi cerita. Pasal apabila dia (PAS) sudah jadi kerajaan, dia faham... dia kena ambil kira ini ada Cina, Melayu, India. Ada (agama) Islam, ada Buddha, ada Hindu, dia kena jaga," katanya. – Mkini


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram