Acara tarian separuh bogel dihadiri Muhyiddin, pemimpin PN menjejaskan imej PAS – Khairuddin



PETALING JAYA: Pihak yang terlibat dalam majlis tari-menari “ala bogel” dihadiri beberapa pemimpin tertinggi Perikatan Nasional (PN) harus memohon maaf, lebih-lebih lagi kerana ia turut menjejaskan nama baik PAS selaku parti komponen gabungan itu, kata Mohd Khairuddin Aman Razali.

“Memang tidak selayaknya majlis tari-menari ala bogel menjadi hidangan kepada pimpinan politik Muslim walaupun penganjurnya bukan Muslim,” kata Ahli Parlimen Kuala Nerus itu di Facebooknya, sekali gus menjadikan beliau antara pemimpin PAS pertama menegur majlis kontroversi itu.

“Di saat rakyat berhadapan dengan musibah dan di saat rakyat diajak untuk bermunajat memohon keampunan kepada Allah agar dilepaskan daripada musibah Covid-19, apa yang berlaku mengguris sedikit perasaan rakyat,” kata Khairuddin.


Antara yang hadir pada majlis makan malam di di Pusat Konvensyen Antarabangsa Austin (AICC), Johor Bahru, Jumaat lalu adalah Pengerusi PN, merangkap Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung, Hamzah Zainudin.

Semalam, Setiausaha Eksekutif PN, Saiful Adli Mohd Arshad, berkata majlis itu bukan anjuran gabungan berkenaan tetapi diatur oleh komuniti perniagaan Cina negeri itu dan kehadiran pimpinan PN adalah atas jemputan penganjur.

Majlis makan malam itu diadakan ketika PN dan parti lain berusaha meraih sokongan menjelang pilihan raya negeri (PRN) Johor Sabtu depan.

Wakil PAS tidak hadir pada majlis itu, namun Khairuddin membayangkan nama baik parti komponen PN itu berisiko menerima tempias akibat atur cara lucah yang disediakan untuk hiburan tetamu.


“(Pihak berkenaan) perlu segera tampil membuat permohonan maaf rasmi kepada rakyat kerana ia juga menjejaskan nama rakan kerjasama politik di saat kempen pilihan raya sedang hangat,” katanya yang dipercayai merujuk kepada PAS selaku parti komponen PN.

Khairuddin yang juga bekas Ahli Jawatankuasa Pusat PAS, akur tuntutannya supaya pihak terbabit dalam majlis itu memohon maaf adalah sesuatu yang “pahit” namun menegaskan “teguran perlu dibuat agar masyarakat dapat menilai prinsip Perikatan Nasional yang jelas berkaitan Islam”. – FMT


ARTIKEL BERKAITAN:

Join our Telegram Channel
Telegram