Agong, Raja Permaisuri selamat tiba dari lawatan negara ke Turki



SEPANG: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selamat kembali ke tanah air hari ini selepas mengadakan lawatan negara selama lapan hari ke Turkiye, bermula 15 Ogos lepas.

Pesawat khas yang membawa Seri Paduka berdua serta delegasi mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini pada kira-kira 10.30 pagi.

Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua disambut Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan isteri Datin Seri Muhaini Zainal Abidin.

Antara menteri Kabinet yang turut menyambut ketibaan baginda berdua adalah Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad.


Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Sejurus ketibaan itu, Tunku Azizah dipersembah jambangan bunga oleh seorang kanak-kanak sebagai mengalu-alukan keberangkatan pulang Seri Paduka berdua ke tanah air.

Seri Paduka berdua menerima tabik Hormat Diraja daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang terdiri daripada empat pegawai, diketuai Mejar Mohd Noornazmin Abd Rahim dan 103 anggota dengan diiringi tembakan meriam 21 das serta lagu Negaraku.

Istiadat menyambut keberangkatan tiba itu disusuli dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Luqman Abdullah.

Seri Paduka berdua berangkat ke Turkiye pada 15 Ogos lepas atas jemputan Presiden Recep Tayyip Erdogan.


Jadual lawatan Al-Sultan Abdullah bermula di Ankara dengan sambutan negara serta mengadakan pertemuan dengan Erdogan di Kompleks Presiden, yang merupakan pertemuan empat mata kali pertama selepas Seri Paduka menaiki tahta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai 2019.

Baginda berdua turut berangkat menghadiri majlis santapan negara yang dihoskan Erdogan dan isteri Puan Yang Terutama Emine Erdogan.

Pada majlis sama, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima darjah tertinggi kerajaan Turkiye, Turkish Order of the State, menjadikan Seri Paduka sebagai Ketua Negara ASEAN pertama menerima anugerah berprestij tersebut.

Pada 17 Ogos, Al-Sultan Abdullah berkenan melawat syarikat pemain utama industri pertahanan Turkiye, FNSS Defence System A.S dan syarikat areoangkasa Turkiye, Turkish Aerospace Industry (TAI), manakala Raja Permaisuri berangkat melawat Muzium Goreme di Istana Presiden.


Sebelum berangkat ke Istanbul, Al-Sultan Abdullah turut berkenan menerima menghadap Naib Presiden Turkiye Fuad Oktay pada 18 Ogos lepas. Sesi menghadap tidak berjadual itu diadakan susulan sesi menghadap Seri Paduka bersama Erdogan pada 16 Ogos bagi membincangkan agenda hubungan dua hala kedua-dua negara.

Program Al-Sultan Abdullah di Turkiye diteruskan ke Istanbul dengan beberapa program utama antaranya berkenan menerima penganugerahan ijazah kehormat oleh Universiti Marmara dalam bidang Sains Politik dan Hubungan Antarabangsa.

Al-Sultan Abdullah turut berkenan melawat tempat bersejarah di sekitar Istanbul selain bertemu 100 rakyat Malaysia yang menetap di Istanbul.

Lawatan negara terakhir ke Turkiye oleh Yang di-Pertuan Agong ialah pada 1992 yang ketika itu oleh Yang di-Pertuan Agong ke-9 Almarhum Sultan Azlan Muhibuddun Shah ibni Almarhum Sultan Yussuff Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah. – Awani



Join our Telegram Channel
Telegram