Ahmad Idham keluar Bersatu sertai GTA



SHAH ALAM - Penerbit dan pengarah filem terkenal, Dr Ahmad Idham Ahmad Nazri tampil memberikan penjelasan berhubung tindakannya yang menyertai gabungan Gerakan Tanah Air (GTA) selepas meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Julai lalu.

Dalam satu kenyataan pada Isnin, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) itu berkata, langkah untuk bersama GTA itu diambil kerana beliau tertarik dengan arah tuju dibawa gabungan tersebut.

Menurutnya, hasrat itu mula timbul selepas beliau dijemput untuk mendengar penjelasan daripada Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung gerakan tersebut pada 17 Ogos lalu.

“Saya tertarik untuk bersama kerana gerakan ini tidak berpaksikan kepada parti politik semata-mata, bahkan ia menggabungkan individu, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), ahli profesional dan ahli akademik di bawah satu bumbung.


"Gabungan ini bertujuan untuk menyumbang bakti kepada masyarakat dan tanah air dengan kapasiti kemampuan masing-masing,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Ahmad Idham baru-baru ini dilihat hadir bersama dengan pelakon, Datuk Seri Eizlan Yusof dalam mesyuarat penubuhan GTA

Khidmat beliau bersama Eizlan sebelum ini pada Mac lalu masing-masing sebagai Setiausaha Kebudayaan sebagai Penasihat Kreatif di bawah Kementerian Luar ditamatkan pada Mac lalu selepas dilantik pada 1 November tahun lepas.

Dalam pada itu, beliau berkata, tindakan untuk keluar daripada Bersatu juga diambil kerana lebih selesa menggerakkan perjuangan Hab Pendidikan Khas yang dilaksanakan melalui NGO, Pertubuhan Briged Prihatin serta ahli profesional dan intelektual.

“Setelah saya memulakan perjuangan Hab Pendidikan Khas ini di Ampang, maklum balas positif yang saya terima bukan sekadar di Ampang sahaja tetapi ianya telah merebak sehingga ke seluruh Malaysia.


“Disebabkan itu saya merasakan GTA merupakan medium terbaik untuk saya terus memperkasakan perjuangan ini serta menyantuni anak-anak istimewa di seluruh negara,” ujar beliau yang juga bekas Ketua Cawangan Bersatu Pinggiran Ukay, Bahagian Ampang.

Ahmad Idham berkata, beliau bakal memperkembangkan inisiatif Hab Pendidikan Khas ke Negeri Sembilan bersama Timbalan Pengerusi GTA Negeri Sembilan, Mohamad Jani Ismail.

Jelas beliau, usaha itu dilakukan bagi mewujudkan sistem sokongan komuniti dalam masyarakat agar kehidupan anak-anak istimewa tidak didiskriminasi selain memartabatkan agama, bangsa dan tanah air.

Pada masa sama, beliau turut melahirkan penghargaan terhadap seluruh kepimpinan Bersatu atas ruang dan peluang diberikan untuk melaksanakan usaha perjuangannya. – Sinar



Join our Telegram Channel
Telegram