PETALING JAYA: Ain Husniza Saiful Nizam dan ibu bapanya memfailkan saman
baharu terhadap kerajaan dan Menteri Pendidikan Radzi Jidin kerana melanggar
peraturan dan pekeliling dalaman.
Mereka turut menamakan tiga lagi defendan, iaitu guru SMK Puncak Alam, Khairul
Nizam Sanuddin; bekas guru besar sekolah, Sarimah Mohammed Nor; dan Pengarah
Pendidikan Selangor Anismah M Noh.
Dalam saman baharu yang difailkan awal bulan ini, Ain dan ibu bapanya turut
mendakwa lima defendan melanggar hak mereka mengikut Perlembagaan Persekutuan
dan Konvensyen Hak Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu 1989.
Tahun lalu, Ain mendakwa Khairul – ketika itu guru pendidikan jasmani dan
kesihatannya – telah membuat jenaka mengenai rogol, malah dikatakan
menggalakkan pelajarnya melakukan jenayah itu.
Khairul kemudian memfailkan saman terhadap Ain dan bapanya, kerana didakwa
memfitnahnya di media sosial dan dalam temu bual bersama media.
Dua beranak itu kemudian memfailkan saman balas terhadap Khairul dan kerajaan,
bagi kesengsaraan emosi dialami akibat jenaka rogol itu, dan kesan diterima
akibatnya.
Sarimah, Anismah, Radzi dan kerajaan turut dinamakan dalam saman berkenaan.
Peguam Sankara Nair yang mewakili Ain dan keluarganya, berkata adalah
memalukan apabila Kementerian Pendidikan tiada sistem bagi melindungi pelajar,
khususnya pelajar perempuan, daripada pelanggaran pensia-siaan dan pelanggaran
undang-undang.
“Saya menggesa kerajaan menangani isu ini bagi melindungi lebih ramai lagi
pelajar seperti Ain yang mungkin menjadi mangsa tersembunyi kes gangguan di
sekolah-sekolah dan dalam masyarakat kita,” katanya kepada FMT.
Ain dan ibu bapanya turut menyaman Khiarul dan/atau Sarimah antara lain kerana
menyebabkan tekanan emosi dan/atau secara sengaja atau semberono. Mereka turut
menyaman Khairul kerana gangguan seksual, salah laku jenayah dan kecuaian.
Tiga beranak itu turut memohon perintah supaya Radzi menggantung tugas
Khairul, selain untuk kerajaan mengarahkan Biro Aduan Awam mengarahkan agensi
yang relevan supaya menyiasat Khairul dan/atau Sarimah atas perlakuan mereka.
Join our Telegram Channel