Keputusan mahkamah rencatkan hak Najib – Asyraf



Keputusan Mahkamah Persekutuan untuk menolak bukti-bukti baru dalam kes Datuk Seri Najib Razak sudah tentulah mengecewakan. Saya secara peribadi sebagai individu yang pernah menerima mentorship beliau sepanjang 3 tahun menjadi Timbalan Menteri juga merasakan perkara yang sama.

Walaupun kita tahu dan menghormati hak mahkamah, tetapi keputusan menolak pengemukaan bukti-bukti ini hanya atas sebab teknikal sudah pastilah dilihat merencatkan hak tertuduh. Sekiranya bukti-bukti ini tidak kuat sekalipun, biarlah peguam DS Najib mengemukakannya terlebih dahulu. 

Tidakkah mahkamah mahu tahu apakah bukti itu? Tidakkah kita semua juga mahu tahu apa yang sebenar-benarnya berlaku?

Dan pada akhirnya jika bukti-bukti ini mahu ditolak juga, maka tolaklah atas sebab kelemahan bukti ini sendiri. Bukannya atas sebab teknikal yang sebenarnya boleh ditimbang atas budi bicara.


Islam meletakkan keadilan pada tempat yang tertinggi. Baik kepada hak mangsa atau hak tertuduh itu sendiri. Setiap orang diberikan hak seluas-luasnya untuk membela diri.

Atas sebab ini, UMNO pada zaman DS Najib sendiri tidak pernah mengganggu sebarang proses mahkamah. Termasuklah dalam kes Liwat 2.0 Datuk Seri Anwar Ibrahim. Walaupun kes itu berjalan hampir 7 tahun dan ditangguh lebih 70 kali. UMNO percaya itu adalah hak tertuduh untuk mendapatkan masa dan ruang bagi membela diri dengan sebaiknya.

Betul Ketua Hakim Negara YAA Tengku Maimun mengatakan "Justice delayed is justice denied". Tetapi di sana ada juga maxim yang menyebut, “justice rushed is justice crushed”.

Saya sebenarnya merasa amat bimbang dengan persepsi rakyat terhadap institusi keadilan. Tuntutan Pemuda UMNO sebelum ini bagi mewujudkan tribunal khas bagi menyiasat konflik kepentingan YA Hakim Dato Nazlan juga bagaikan dipandang sepi pihak berkenaan. Sedangkan kebebasan hakim itu adalah asas kepada wujudnya keadilan.


Kita sudah tentu tidak mahu persepsi buruk rakyat terhadap sistem kehakiman seperti dekad 80an dan 90an berulang.

Saya percaya akan ada hikmah yang Allah akan datangkan. Buat Datuk Seri Najib, sekiranya ini adalah ujian maka percayalah Dia tidak pernah menguji hambaNya melainkan sesuai dengan kemampuan mereka.

Apa juga yang berlaku, rakyat pasti tidak akan lupa siapa yang telah membawa negara ini ke satu aras yang tidak pernah tercapai sebelumnya.

Kami tidak akan lupa!

Saya tidak mungkin lupa!

#KepadaAllahKitaBerserah
#BangkitKembali


Join our Telegram Channel
Telegram