Ulama politik cakap berubah-ubah – Zahid



PETALING JAYA: Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi “mengajak” PAS mengadu kekuatan terlebih dulu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) sekiranya ingin bercakap berhubung pembentukan kerjasama.

Katanya, sekiranya PAS masih mahu membentuk kerjasama dengan Umno, ia boleh dilakukan selepas PRU15.

“Kalau nak jalin sebarang bentuk kerjasama, jalin selepas keputusan PRU15…sekarang ini kita turun ke gelanggang dan adu kekuatan…kekuatan dari segi pengaruh pengundi-pengundi.

“Walaupun mahukan persefahaman dan sebagainya itu hanyalah harapan, tetapi realitinya rakyat tahu parti mana boleh membela nasib mereka,” katanya dalam wawancara ‘Jawab, Saya Tanya! yang disiarkan secara langsung dalam akaun Facebook miliknya.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kenyataan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, semalam, yang mahukan jalinan kerjasama kedua-dua parti secara menyeluruh dan bukan di negeri tertentu sahaja.

Zahid yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN), ketika mengulas lanjut, berkata kalau diajak “berkawan”, kenyataan mesti menjurus ke arah untuk “berkawan”.

“Hari ini kenyataan seperti mahu berkawan, tapi besoknya ketika lancar parti komponen yang baharu menyalahkan Umno dan BN kononnya tidak bekerjasama dengan mereka,” katanya.

Nada Zahid kemudian dilihat berubah apabila menyatakan bahawa beliau “tidak boleh bekerjasama dengan ulama politik”.

“Saya mengakui boleh bekerjasama dengan mana-mana ulama, tapi seorang yang menjadi ulama politik bercakap berubah-ubah…saya tidak merujuk kepada sesiapa. Dalam situasi seperti itu kita harus istiqomah, kita harus konsisten,” katanya.


Mengulas berhubung keputusan sama ada Umno/BN kekal bergerak solo, Zahid berkata, “keputusan solo adalah keputusan rasmi”.

“(Bagaimanapun) ada kebijaksanaan lain (cadangan kerjasama) yang penting Umno dan BN perlu dominan,” katanya.

Katanya, beliau tidak menolak dinamik politik Umno/BN akan berubah sekiranya tidak mendapat cukup kerusi selepas bergerak secara solo pada PRU15.

“Jadi, beberapa kebijaksanaan mesti dilakukan, ‘first’ kena ‘create’ keserasian, selepas itu kerjasama…kerjasama mesti berasaskan kepada understanding (kesefahaman)…tidak ada kawan yang kekal dan tidak ada musuh yang kekal,” katanya.

Zahid berkata, “politik merupakan permainan angka” dan Umno/BN perlu melihat secara mendalam langkah tersurat dan tersirat sebelum dan selepas PRU demi mewujudkan kestabilan politik di negara ini.

 

Join our Telegram Channel
Telegram