KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) perlu disegerakan, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Jelas beliau, ketika ini pembangkang sedang menggunakan pelbagai persepsi untuk menggugat keyakinan akar umbi UMNO BN.
“Isu yang dikemukakan pembangkang berbentuk serpihan dan tidak dilihat dari perspektif menyeluruh.
“Dengan kata lain, mereka serang, spin dan kemudian cuba cetuskan imej bahawa merekalah terbaik walaupun PH berkuasa 22 bulan membuktikan sebaliknya hingga PM mereka sendiri meletak jawatan apabila tahu manifesto mereka tak dapat ditunaikan,” katanya menerusi hantaran Facebook, hari ini.
Menurut beliau, pimpinan parti dan akar umbi UMNO sangat yakin kini merupakan waktu terbaik untuk menyegerakan PRU dan justifikasinya telah dijelaskan banyak kali.
Tambah beliau, apa yang penting, UMNO tidak mahu pembangkang terus menggunakan bulan-bulan terakhir sebelum parlimen dibubarkan untuk menyerang BN.
“Apabila melengahkan PRU bermakna kita memberikan senjata kepada musuh untuk terus menyerang. Sebab itu, tidak ada satu pun pembangkang minta bubar parlimen walaupun dahulu selalu memperlekeh kerajaan yang ada sekarang bukan mandat rakyat, kerajaan pintu belakang dan sebagainya,” ujarnya.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) sebelum ini berkata, PRU15 dijangka diadakan tahun ini.
Ini kerana sekiranya pilihan raya itu diadakan tahun hadapan, maka gabungan BN bakal berdepan laluan yang lebih sukar susulan faktor ekonomi dan kadar inflasi yang mungkin meningkat.
Ahmad Zahid berkata, terdapat kebimbangan pada Pakatan Harapan (PH) apabila Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui bahawa pendirian UMNO yang mahukan PRU15 diadakan lebih awal kerana yakin rakyat masih memandang tinggi terhadap parti itu.
“Berdasarkan temu bual dengan The Associated Press yang disiarkan Astro Awani, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata ketika ini pembangkang sudah berpecah-belah, sekali gus memberi ruang kepada UMNO untuk menang besar.
“Beliau terpaksa mengakui bahawa dari sudut kerajaan, pilihan raya awal adalah satu perkara yang baik kerana kerajaan sudah bersedia dan pembangkang pula tidak bersedia,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:
- Umno menang besar jika #PRU15 segera diadakan, kata Dr M
- Zahid gesa segerakan #PRU15 selepas komen Dr M UMNO bakal menang besar
- ‘Bubar Parlimen tergesa-gesa ibarat bunuh diri’
- #PRU15: PM bimbang ‘Parlimen tergantung’ jika tiada parti raih majoriti mudah
- Mesyuarat tergempar: Lebih 100 pimpinan UMNO mula tiba di Menara Dato' Onn
- Jangan guna alasan takut Parlimen tergantung bagi halang #PRU15 diadakan – Zahid
- Ismail Sabri, Annuar Musa, Tajuddin, Shahidan tidak muncul di mesyuarat tergempar UMNO
- 158 Ketua UMNO Bahagian desak #PRU15 segera
- #PRU15: Kena ‘tengok’ ekonomi, isu dalam negara dulu, kata Ismail
- Zahid dan saya tak ada isu, biar mahkamah tentukan kes, kata PM
- Pemimpin tertinggi UMNO dilihat masuki kediaman rasmi PM
- PM tinggalkan Seri Perdana selepas bertemu pemimpin Umno
- Zahid, Najib, pemimpin bahagian, selesai mesyuarat di PWTC, PM temui pimpinan utama lain di Seri Perdana
Join our Telegram Channel