Boleh ucap ‘R.I.P’ kepada bukan Islam, kata sarjana Turki



PETALING JAYA: Sarjana terkenal Turki, Mustafa Akyol berkata orang Islam boleh mengucapkan “rest in peace” atau RIP bagi melahirkan takziah kepada kepada orang bukan Islam yang meninggal dunia.

Tambahnya, belas kasihan Allah tidak tertakluk kepada orang Islam saja.

Pendapat Akyol itu yang seiring dengan beberapa ulama terkenal lain berdasarkan, dua ayat al-Quran iaitu surah al-Baqarah ayat 62 dan surah al-Ma’idah ayat 69 yang menyatakan, semua manusia yang berbuat kebaikan dan beriman kepada Allah akan diselamatkan.

Katanya, ayat itu dengan jelas menyatakan orang beriman (Islam), Yahudi, Kristian, dan Shabin (kumpulan agama yang sudah tidak wujud) akan terselamat pada hari pembalasan atau akhirat.


Menurut surah al-Baqarah ayat 62, siapa saja (di antara mereka) yang beriman kepada Allah dan hari akhirat dan beramal soleh, maka bagi mereka pahala balasannya di sisi Tuhan mereka dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) kepada mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

“Jadi menurut al-Quran, belas kasihan Allah tidak terhad kepada orang Islam sahaja,” kata Akyol kepada FMT.

“Oleh itu, orang Islam boleh mengucapkan ‘rest in peace’ (bersemadi dengan tenang) kepada orang bukan Islam dan mendoakan roh mereka sekiranya mendiang orang yang baik,” katanya.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sebelum ini menyatakan orang Islam dilarang mengucapkan “rest in peace” kerana orang Islam tidak boleh mendoakan keampunan untuk orang bukan Islam seperti yang dinyatakan di dalam beberapa hadis.

Akyol berkata kenyataan pejabat mufti itu adalah pandangan biasa dalam kalangan orang Islam hari ini mengenai hari akhirat di mana orang bukan Islam ditempatkan di neraka dan orang Islam tidak dibenarkan mendoakan roh mereka.


Jelasnya, pandangan itu wujud kerana tradisi Islam arus perdana, yang dicipta ketika zaman konflik keagamaan dan keagungan, tidak dapat menerima “mesej toleransi, universal al-Quran”.

Ads by Kiosked
Sehubungan itu, katanya, dua ayat al-Quran tersebut, ditafsirkan bahawa orang bukan Islam hanya terselamat sekiranya mereka memeluk Islam.

Akyol juga berkata, ulama besar Islam, Imam al-Ghazali turut mempersoalkan bagaimana orang bukan Islam boleh terselamat sekiranya mereka tidak berapa faham mengenai Islam itu sendiri.

Katanya, seorang lagi ulama dari kurun ke-9, Al-Jahiz berkata, orang Yahudi, Kristian dan sesiapa yang belajar mengenai Islam tetapi tidak tertarik dengan agama itu, mendapat “kemaafan” daripada Allah.


“Saya percaya ini semua bermakna, keselamatan sebenar yang dijanjikan agama Islam adalah lebih meluas daripada kepercayaan kebanyakan orang Islam hari ini,” kata Akyol.

Akyol turut menyeru umat Islam untuk merenung apa yang digelarnya “eksklusivisme keagamaan”.

Orang Islam yang percaya orang bukan Islam ditakdirkan ke neraka, perlu bertanyakan diri mereka soalan ini: Adakah mereka didorong dengan usaha untuk memuji Allah, yang mana belas kasihannya tiada had, meliputi seluruh umat manusia? Atau mereka didorong satu puak agama yang mahu mengehadkan belas kasihan Allah kepada mereka sahaja, semata-mata untuk memuaskan ego ahli kumpulan itu?

“Saya berpendapat yang kedua inilah puncanya,” katanya. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram