PETALING JAYA: Ucapan “rest in peace” memang berasal daripada agama Kristian, namun pada zaman ini ia lebih digunakan secara umum sebagai ungkapan takziah dan hormat untuk orang yang meninggal dunia, kata seorang paderi kanan.
Herman Shastri berkata, asal usul ungkapan itu yang lebih dikenali sebagai “RIP” daripada bahasa Latin, “requiescat in pace” dan digunakan penganut Kristian pada zaman dulu. Bagi masyarakat Kristian juga, ia digunakan sebagai ucapan menandakan penantian hari kebangkitan.
“Dalam masyarakat moden kini, ia digunakan orang ramai sebagai cara menunjukkan hormat dan mengucapkan takziah bagi si mati.
“Apa yang penting adalah orang ramai, tidak kira apapun pegangan agama mereka, melihat ungkapan itu sebagai cara menunjukkan hormat untuk si mati,” katanya kepada FMT, dengan menambah ucapan itu tidak lagi mempunyai kepentingan dari segi keagamaan seperti dulu kala.
Bekas setiausaha agung Majlis Gereja-gereja Malaysia itu berkata, beliau turut melihat segelintir golongan bukan Islam di negara ini mengucapkan “Al Fatihah” ketika mengucapkan takziah atas berita kematian seorang Muslim. Katanya, itu juga menunjukkan ucapan tertib dan hormat kepada seseorang yang telah mati.
Shastri berkata, dalam masyarakat pelbagai kepercayaan dan moden, ketua-ketua agama seharusnya menggalakkan orang ramai supaya menunjukkan hormat terhadap seseorang yang telah meninggal dunia dengan cara dianggap selesa bagi diri masing-masing.
“Ucapan bagi menghormati si mati mungkin dipinjam daripada bahasa agama lain, tetapi yang penting adalah kata-kata berkenaan diterima sebagai hormat dan bermaruah.”
Beliau menyifatkan ia sesuatu yang menyedihkan untuk masyarakat, sekiranya sekatan diletakkan sehingga pelbagai bahasa berunsur keagamaan tidak boleh saling dipinjamkan dan digunakan dengan niat rasa kasih sayang.
Pertikaian mengenai ungkapan itu tercetus selepas pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Luqman Abdullah melarang umat Islam mengucapkan “rest in peace” kerana golongan Muslim tidak dibenarkan mendoakan keampunan untuk orang bukan Islam, berdasarkan beberapa hadis.
Menurut pejabatnya, “rest in peace” atau “RIP” adalah satu bentuk doa, oleh itu umat Islam dilarang mengucapkannya.
Join our Telegram Channel