Ucap R.I.P ‘harus’ sebagai tanda hormat, kata mufti



PETALING JAYA: Di sebalik percanggahan pendapat dalam kalangan ulama dan sarjana Islam mengenai ucapan “Rest In Peace” atau RIP, beberapa mufti tampil menjelaskan ia dibolehkan jika tiada niat untuk mendoakan kerahmatan dan keampunan bagi roh yang bukan Islam.

Mufti Pulau Pinang, Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, tiada hukum jelas dalam al-Quran yang melarang umat Islam menyebut perkataan RIP (bersemadi dengan tenang).

“Bergantung kepada niat, apa niat kita kata macam itu? Kita kata RIP itu bermaksud dia sudah tidak lagi memikul bebanan hidup, terutama sebagai ketua negara besar macam tu (Ratu Elizabeth II).

“Jadi, kalau niat macam tu tak mengapa atau dia meninggal dunia, maknanya kesihatan yang dialaminya di hujung hayat dah berakhir, maka dia amanlah. Tetapi, apa yang dilarang adalah untuk kita berdoa kepada Allah merahmati dan mengampunkan dosanya. Itu tidak boleh, sebab itu bukan orang Islam,” katanya kepada FMT.


Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, umat Islam di negara ini perlu mengikut pandangan mufti dan ulama tempatan berhubung ucapan “RIP” kepada orang bukan Islam yang meninggal dunia.

Beliau mengulas pendapat sarjana terkenal Turki, Mustafa Akyol bahawa orang Islam boleh mengucapkan “RIP” bagi menyuarakan takziah kepada orang bukan Islam yang meninggal dunia.

Pandangan itu sebagai membalas kenyataan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sebelum ini bahawa orang Islam dilarang mengucapkan “RIP” kerana orang Islam tidak boleh mendoakan keampunan untuk orang bukan Islam seperti dinyatakan dalam beberapa hadis.

Menjawab pandangan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan itu, Wan Salim berkata, disebabkan tiada bukti bertulis atau peruntukan teks dalam hadis atau al-Quran yang melarang umat Islam mengucapkan RIP kepada bukan Islam, setiap pandangan ulama boleh berbeza.

“Mengenai Pejabat Mufti Wilayah kata tak boleh ucap RIP itu pandangan dia. Sebab dalam isu ini, boleh berbeza pandangan kerana tiada textual (bertulis)…kita tak boleh harap sama (pandangan) saja,” katanya.


Sementara itu, Mufti Pahang, Abdul Rahman Osman berkata, memberi penghormatan atau mengucapkan salam takziah sebagai tanda hormat kepada pemergian orang bukan Islam diharuskan dalam Islam.

Katanya, ia merujuk satu peristiwa di mana Nabi Muhammad bangun berdiri sebagai penghormatan kepada orang bukan Islam yang meninggal dunia.

“Bila ada orang bukan Islam meninggal, Rasulullah bangun sebagai penghormatan kepada yang meninggal. Kalau sebagai penghormatan, itu tak apa dan tak salah, tetapi kalau ada bentuk pemujaan atau berbentuk keagamaan itu dilarang.

“Maknanya, penghormatan kepada orang bukan Islam yang mati diharuskan berdasarkan kisah Rasulullah berdiri beri penghormatan kepada jasad bukan Islam,” katanya. – FMT
Join our Telegram Channel
Telegram