AMPANG – Polis memberkas pasangan suami isteri bagi membantu siasatan
berhubung kes dera dan kurung seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun
di Kondominium Bella Vista, Jalan Cahaya 13, hari ini.
Suspek wanita yang tidak bekerja berusia 33 tahun dan suaminya berusia 29
tahun bekerja sebagai pemandu e-hailing ditahan pukul 6 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak
berkata, suspek wanita merupakan adik kandung kepada ibu mangsa dan tidak
memiliki rekod lampau, manakala suaminya mempunyai satu rekod jenayah lampau.
“Ujian saringan awal air kencing yang dijalankan terhadap kedua-dua suspek
didapati negatif sebarang jenis dadah,” ujarnya sebentar tadi.
Menurutnya, pihak polis turut mendapati seorang kanak-kanak perempuan berusia
enam tahun yang merupakan adik kepada mangsa mempunyai kesan kecederaan lebam
pada bahagian kaki, tangan dan belakang badan dipercayai akibat didera.
“Kedua beradik itu telah dirujuk ke Hospital Ampang untuk pemeriksaan oleh
pegawai perubatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga telah
dimaklumkan untuk urusan penjagaan,” ujarnya.
Jelas beliau, hasil siasatan mendapati mangsa telah tinggal dengan suspek
sejak dua tahun selepas bapa kandungnya meninggal dunia, manakala ibu
kandungnya tidak mahu menjaga kedua beradik tersebut.
Katanya, kedua-dua suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Ampang esok untuk
permohonan reman dibawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
Kes disiasat dibawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana telah
menganiayai kanak-kanak sehingga mengalami kecederaan fizikal dan emosi.
Terdahulu, seorang kanak-kanak yang tidak tahan dikurung dan disyaki mangsa
dera bertindak melarikan diri melalui tingkap berjaya diselamatkan di
Kondominium Bella Vista, Jalan Cahaya 13, di sini hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel