Lelaki ditahan tunai umrah bagi pihak mendiang Ratu Elizabeth



Riyadh: Pihak berkuasa Arab Saudi menahan seorang lelaki yang mendakwa dirinya datang ke Makkah untuk menunaikan umrah bagi pihak mendiang Ratu Elizabeth II.

Media tempatan, yang memetik satu kenyataan, melaporkan pihak berkuasa Masjidil Haram menahan seorang penduduk warga Yaman yang dilihat dalam video membawa satu kain rentang dalam Masjidil Haram, yang melanggar peraturan umrah.

"Lelaki itu ditahan, langkah perundangan akan dilaksanakan terhadapnya dan dia diserahkan kepada pihak pendakwa raya," kata kenyataan itu.


Semalam, lelaki warga Yaman itu memuat naik satu video di media sosial memaparkan dirinya di dalam Masjidil Haram di Makkah, lokasi paling suci bagi umat Islam, yang menjadi kawasan larangan bagi individu bukan Islam.

Dalam video berkenaan, lelaki itu memegang kain rentang tertulis 'Umrah untuk roh Ratu Elizabeth II, kami memohon Tuhan menerimanya ke dalam syurga dan dalam kalangan orang beriman'.

Video itu tersebar luas di media sosial Arab Saudi, dengan pengguna Twitter menggesa lelaki itu ditahan.

Arab Saudi melarang jemaah yang tiba ke Makkah membawa kain rentang atau melaungkan slogan.


Meskipun amalan menunaikan umrah bagi pihak individu yang meninggal dunia ada dalam Islam, ia tidak merangkumi individu bukan Islam seperti mendiang Ratu, yang juga gabenor tertinggi Gereja England, gereja tertinggi bagi penganut Anglican seluruh dunia.

Umrah adalah ibadah yang boleh dilaksanakan pada bila-bila masa, berbeza berbanding haji yang hanya dilaksanakan sekali setiap tahun dan membabitkan jutaan umat Islam dari seluruh dunia.

Ratu Elizabeth II mangkat pada usia 96 tahun Khamis lalu, dan majlis pemakaman dijadualkan pada Isnin depan. – Hmetro



Please subscribe





Join our Telegram Channel
Telegram