RON95, diesel dijangka ikut harga pasaran tahun depan



KUALA LUMPUR: Pengguna dijangka perlu membayar harga bahan api RON95 dan diesel mengikut harga pasaran apabila subsidi bersasar berkemungkinan besar akan dilaksanakan tahun depan, demikian menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).

"Kami menjangkakan harga RON95 dan diesel yang lebih tinggi tahun depan dengan semakan semula subsidi bahan api.

"Kami difahamkan ujian mekanisme subsidi bersasar dimulakan bulan lalu dan akan berjalan tiga hingga enam bulan. Justeru, anggapan kami subsidi bahan api akan disemak semula tahun depan sebagai sebahagian agenda dalam Bajet 2023 yang dijadualkan pada 7 Oktober ini," kata Maybank IB dalam satu nota penyelidikan.

Nota disediakan oleh tiga penganalisis bank pelaburan itu iaitu Dr Zamros Dzulkafli, Suhaimi Ilias dan Fatin Nabila Mohd Zaini.


Maybank IB berkata, pihaknya mengubah unjuran kadar inflasi 2022 kepada 3.3 peratus berbanding 3.4 peratus sebelum ini, manakala kadar inflasi tahun depan diunjurkan pada 4.0 peratus berbanding 4.1 peratus sebelumnya.

Bank pelaburan itu menjelaskan, unjuran berkenaan turut mempertimbangkan kesan rasionalisasi subsidi harga yang telah diumumkan dan dijangka akan dilaksanakan oleh kerajaan.

"Sebagai contoh, kerajaan mengumumkan pemansuhan subsidi harga minyak masak (tulen, tidak dicampur) dalam botol dua kilogram (kg), tiga kg dan lima kg berkuat kuasa 1 Julai lalu, tetapi mengekalkan subsidi minyak masak dalam polibeg satu kg berharga RM2.50 sepeket.

"Unjuran kadar inflasi kami untuk 2023 termasuk andaian beberapa pelarasan dalam harga bahan api dan tarif elektrik berikutan kajian semula subsidi pada 2023," katanya.

Maybank IB berkata, unjuran inflasi turut mengambil kira pelaksanaan 10 peratus Cukai Jualan ke atas barangan import bernilai rendah yang dijual secara dalam talian berkuat kuasa Januari 2023.


Unjuran juga, katanya berikutan pelaksanaan penuh kenaikan gaji minimum ke atas semua majikan tahun depan berbanding pengecualian ke atas perniagaan kecil yang mempunyai kurang daripada lima pekerja tahun ini.

Dengan trajektori menaik dalam kadar inflasi tahunan, ditambah dengan pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh pada suku kedua 2022 dan tahun ini, Maybank IB menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk meningkatkan lagi kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 50 mata asas (bps) kepada 2.75 peratus menjelang akhir tahun ini.

Jangkaan itu, katanya membabitkan kenaikan sebanyak 25 bps setiap satu iaitu semasa dua lagi Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) bagi tahun ini iaitu pada 7 hingga 8 September 2022 dan 2 hingga 3 November 2022.

"Kami juga menjangkakan kenaikan 25 bps lagi awal tahun depan untuk menjadikan OPR kembali ke tahap sebelum COVID-19 sebanyak 3.00 peratus menjelang akhir suku pertama 2023," katanya. – Bharian

 

Join our Telegram Channel
Telegram