Rosmah menangis, tetap mengaku tak salah



KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor menangis ketika memohon Mahkamah Tinggi di sini agar bersikap belas ihsan dan lebih berperikemanusian dalam menentukan hukuman terhadapnya.

Dalam sebak dan air mata, Rosmah menyatakan bahawa beliau tidak pernah meminta rasuah atau menyeleweng wang dari mana-mana pihak.

“Tolong jadi lebih belas ihsan, jadi lebih berperikemanusiaan. Jika ini boleh berlaku kepada saya, ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, kepada isteri anda, anak anda atau sesiapa sahaja pada masa hadapan.


“Mereka telah lakukannya (hukum) kepada suami saya agar kami menanggung sengsara.

“Kami sedang menanggung sengsara, anak-anak saya sengsara. Tolong lihat saya sebagai seorang wanita kini yang terpaksa memikul tugas seorang bapa. Tolong jadi lebih berperikemanusiaan,” ujarnya dalam nada sebak.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi di sini mendapati Rosmah, 70, bersalah atas pertuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima RM6.5 juta melalui bekas pegawai khasnya, Datuk Rizal Mansor berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak.


Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Tuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Sesyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi. – Utusan



Join our Telegram Channel
Telegram