Rosmah didapati bersalah tuduhan rasuah projek solar



Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini mendapati Datin Seri Rosmah Mansor bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan berkata pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes tanpa keraguan munasabah terhadap Rosmah.

Rosmah, 70, dituduh meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi Abang Samsudin, yang ketika itu pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd melalui bekas pembantunya Datuk Rizal Mansor sebagai ganjaran membantu Jepak Holdings memperoleh projek bernilai RM1.25 bilion itu.


Pada 18 Feb tahun lepas, isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu diperintah membela diri terhadap ketiga-tiga pertuduhan tersebut selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap beliau.

Setelah memanggil dua saksi iaitu tertuduh sendiri dan bekas Pengarah Bahagian First Lady of Malaysia (FLOM) Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod, pihak pembelaan menutup kes pada 23 Feb lepas. – Bernama




Join our Telegram Channel
Telegram