Zahid: Lepas BN kalah, 18 pemimpin UMNO diheret ke mahkamah, 15 pemimpin PH digugurkan kes



KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu mahkamah bagaimana pemimpin-pemimpin UMNO bukan sahaja didakwa di mahkamah atas pelbagai kesalahan, malah mereka turut diugut supaya membubarkan parti itu jika hendak ‘selamat’.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, seramai 18 pemimpin UMNO diheret ke mahkamah antaranya beliau; bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Datuk Seri Ahmad Maslan dan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Pendakwaan terhadap pemimpin UMNO itu mula dilakukan selepas kemenangan besar Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 dengan Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.

Ahmad Zahid berkata, selain itu seramai 15 pemimpin PH yang berdepan dengan pendakwaan mahkamah digugurkan kes, antaranya bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Hassan Karim, Rafizi Ramli dan R Sivarasa.


“Kami kalah, kami dituduh. Seramai 18 pemimpin UMNO berdepan dengan pelbagai tuduhan mahkamah manakala lebih 81 Ketua Bahagian UMNO juga telah diheret ke mahkamah dan diugut kononnya telah menerima dana dari bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Jika ini bukan pendakwaan politik, apakah ini? Yang parti menang itu, pemimpin mereka yang dituduh di tarik balik kesnya oleh peguam negara mereka ketika itu. Parti yang kalah pula terus diheret, di ugut di mahkamah.

“Inilah contoh pendakwaan politik, ini juga merupakan persepsi umum berhubung pertuduhan-pertuduhan tersebut,” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Ahmad Zahid sedang berdepan dengan 47 pertuduhan membabitkan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram milik Yayasan Akalbudi.


Beliau diperintah membela diri atas semua pertuduhan itu pada 24 Januari selepas mahkamah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Ahmad Zahid juga Presiden UMNO mendakwa, beliau telah diugut oleh Dr. Mahathir supaya membubarkan UMNO dan melompat parti dengan menyertai parti yang dipimpin Dr. Mahathir, Parti Pribumi Bersatu Malaysia, atau berdepan dengan ‘sesuatu’.

Tambahnya, Dr Mahathir telah menafikan perkara itu tetapi pada masa sama bekas Perdana Menteri itu secara terbuka mengaku telah meminta beliau meninggalkan UMNO dan membubarkan UMNO.

“Pengakuan itu juga adalah bukti Tun Mahathir mahu bubarkan UMNO dan saya melompat masuk ke partinya,” ujarnya. – MG


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram