12 menteri PN utus surat, mohon Agong tolak #PRU15 tahun ini



PETALING JAYA: Seramai 12 menteri Kabinet Perikatan Nasional (PN) mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung pendirian gabungan itu menolak pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini.

Perkara itu disahkan Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin.

Katanya, menteri gabungan itu berpendirian kebajikan rakyat adalah perkara penting perlu diberikan tumpuan, ketika ini.

“Saya boleh sahkan memang kami menteri daripada PN sudah mengutus warkah kepada Yang di-Pertuan Agong memohon supaya tidak dilaksanakan PRU dalam masa terdekat.


“Apa yang paling penting kita dalam kerajaan ingin menumpukan kepada perkara berkaitan kebajikan rakyat,” katanya menurut Berita Harian.

Radzi yang juga naib presiden Bersatu berkata, dalam baki masa yang ada menjelang PRU, Kementerian Pendidikan berdepan banyak perkara struktur yang perlu diselesaikan dan dilaksanakan dengan baik.

Justeru, beliau berkata, dengan mengambil kira ketidaksesuaian masa untuk dilaksanakan PRU15, menteri PN dalam pentadbiran Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, menteri terbabit memohon baginda tidak memperkenan PRU15 diadakan tahun ini, sekiranya permohonan untuk itu dipersembahkan.


Pada 4 Okt, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin dalam kenyataan, meminta menteri PN tegas menolak PRU15 diadakan tahun ini dalam mesyuarat Kabinet.

Beliau yang juga bekas perdana menteri berkata, tidak wajar PRU15 dibuat tahun ini memandangkan monsun timur laut akan bermula tidak lama lagi dengan banjir dijangka melanda terutama di negeri Pantai Timur.

“Rakyat sedang terbeban dengan masalah inflasi, kenaikan harga barang dan kejatuhan nilai ringgit di samping proses pemulihan negara yang masih perlahan.

Penyelesaian kepada permasalahan ini mesti diberikan tumpuan sepenuhnya oleh kerajaan terutama menerusi Bajet 2023,” katanya. – FMT


Join our Telegram Channel
Telegram