Bekas ADUN PAS masuk UMNO mahu martabat Islam bukan tanding PRU



PETALING JAYA: Bekas ADUN PAS Bukit Pasir, Najib Lep memilih untuk menyertai Umno kerana mendakwa perlembagaan parti Melayu itu meletakkan Islam di peringkat tertinggi.

Najib yang menyertai Umno Mei lalu turut menolak dakwaan beliau menyertai parti itu kerana mahu bertanding semula pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Umno di Pagoh tak ketandusan pemimpin, mereka ada pemimpin kelayakan tinggi. Saya orang baru, bergantung pada pengalaman Adun, saya tak letak sasaran masuk Umno sebab nak tanding,” katanya kepada FMT.


Untuk rekod, Najib adalah satu-satunya wakil PAS di DUN Johor sebelum dibubarkan pada 22 Januari lalu bagi membolehkan pilihan raya negeri (PRN) diadakan.

Pada PRN Johor, PAS menggugurkan keahlian Najib dari parti itu selepas memilih untuk bertanding sebagai calon Bebas selepas namanya tidak disenaraikan sebagai calon.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man ketika itu berkata, keputusan Najib yang sekaligus menentang calon PAS Nur Iqbal Abd Razak mewakili Perikatan Nasional itu bertentangan dengan arahan dan keputusan parti.

Pada PRN itu calon BN, Mohamad Fazli Mohamad Salleh memenangi kerusi Bukit Pasir dengan memperoleh 6,048 undi menewaskan Najib yang mendapat 1,860 undi dan Iqbal (5,850) serta tiga calon lain.


Mengulas lanjut, Najib berkata, dia bersama 100 lagi ahli PAS lain yang menyertai Umno kerana ingin membuka cawangan baharu di Bandar Universiti Pagoh.

“Ramai (ahli PAS masuk Umno) sebab kalau dalam Umno, nak wujudkan cawangan kena ada 50 orang ahli baru.

“Saya dah ada lebih 50 ahli baru yang belum pernah masuk Umno. Dalam masa sama ahli-ahli lain yang mengikuti saya,” katanya. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram