Bekas polis bunuh 35 orang, termasuk 23 kanak-kanak (16 gambar)


Bangkok: Bekas pegawai polis yang menembak mati sekurang-kurangnya 35 orang, kebanyakannya kanak-kanak, dipercayai sempat pulang ke rumahnya untuk membunuh isteri dan anaknya sebelum membunuh dirinya sendiri.

Menurut polis, berbekalkan senapang patah, pistol dan pisau, suspek dikenali sebagai Panya Khamrab melepaskan tembakan ke arah pusat jagaan kanak-kanak di timur laut wilayah Nong Bua Lam Phu kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Kolonel Polis Jakkapat Vijitraithaya dari wilayah tempat serangan itu berlaku memberitahu AFP bahawa lelaki bersenjata itu membunuh 35 orang, termasuk 23 kanak-kanak, dan mencederakan 12 yang lain.


Bekas leftenan kolonel polis berusia 34 tahun itu telah dipecat daripada pasukan tahun lalu kerana menggunakan dadah, tambah Vijitraithaya.

Saksi, Paweena Purichan, 31, sedang menunggang motosikal ke kedainya apabila terserempak dengan Panya yang melarikan diri dengan memandu secara melulu.

"Dia berniat untuk merempuh orang lain di jalan raya," katanya kepada AFP.

"Penyerang merempuh motosikal dan dua orang cedera. Saya memecut lari daripadanya. Darah dapat dilihat merata-rata," katanya.

Paweena berkata, penyerang itu terkenal di kawasan itu sebagai penagih dadah.


Rakaman video selepas kejadian itu menunjukkan ibu bapa yang kecewa menangis di tempat perlindungan di luar taska, sebuah bangunan satu tingkat berdinding kuning yang terletak di dalam taman.

Sementara itu, BBC melaporkan, ketika kejadian, suspek memecah masuk ke bilik berkunci yang menempatkan kanak-kanak sedang tidur, dan melepaskan tembakan.

Dalam pada itu, AP melaporkan, ketika melarikan diri dengan kereta, suspek turut melepaskan tembakan dari dalam kenderaan.

Ia mengakibatkan dua kanak-kanak dan sembilan dewasa yang ketika itu berada di luar pusat jagaan itu terbunuh. – Hmetro













Join our Telegram Channel
Telegram