DPP: Kertas siasatan kes penipuan Gnanaraja-Terowong Guan Eng diklasifikasi NFA



Kertas siasatan berhubung kes penipuan ahli perniagaan G Gnanaraja berkaitan projek terowong dasar laut Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion diklasifikasikan sebagai "tiada tindakan lanjut" (NFA).

Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat memaklumkan perkara itu ketika perbicaraan rasuah bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkaitan projek sama, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Pemeriksaan di laman web SPRM menunjukkan Gnanaraja, 41, dijatuhkan hukuman denda RM230,000 di bawah Seksyen 218(1)(A) Akta Syarikat 2016 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pad 23 Disember 2020.

Difahamkan ia merupakan pertuduhan alternatif untuk pendakwaan penipuan dan ahli perniagaan tersebut mengaku bersalah.


"Kertas siasatan (diklasifikasikan) NFA, kami (pasukan pendakwaan untuk kes Lim) tiada laporan (berkenaan kes Gnanaraja)," katanya kepada hakim Azura Alwi.

Dia berkata demikian sebagai respons kepada hasrat peguam Gobind Singh Deo untuk memfailkan permohonan memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap pihak pendakwaan kerana didakwa melanggar perintah mahkamah.

Gnanaraja merupakan saksi dalam kes Lim tetapi belum dipanggil pendakwaan.

Pada 3 April 2019, dia didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tuduhan memperdaya eksekutif kanan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZC) Zarul Ahmad Mohd Zulkifli sebanyak tiga kali pada 2017 untuk mempercayai dia ada hubungan politik yang mampu membantu untuk menutup siasatan SPRM terhadap Zarul.

Zarul merupakan saksi utama pendakwaan dalam kes Lim. Dalam keterangan sebelum ini, dia antara lain berkata tertuduh meminta 10 peratus daripada keuntungan yang bakal diraih syarikatnya, sebagai pertukaran untuk projek itu dianugerahkan kepad Zenith.


Dalam perbicaraan hari ini, Gobind memaklumkan pembelaan akan memfailkan permohonan memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap pendakwaan.

Dia mendakwa ini kerana pendakwaan gagal mematuhi perintah mahkamah pada 29 September lalu agar pegawai penyiasat jabatan forensik SPRM Wan Mohd Firdaus Wan Yusof mengemukakan salinan imej kandungan telefon milik Zarul.

Perintah itu juga agar pendakwaan mengemukakan perincian laporan, yang disediakan untuk kes Gnanaraja, berkenaan perbualan WhatsApp antara Zarul dan Gnanaraja.

Hasrat pasukan pembelaan itu susulan pemeriksaan balas dengan Firdaus hari ini, di mana dia berkata tidak dapat mendapatkan perincian seperti yang diminta. – Mkini

 

Join our Telegram Channel
Telegram