Hadi ke Iran sebelum tolak kerjasama dengan Umno, kekal bersama PN – Khairuddin



Bekas pemimpin PAS yang menjadi antara tulang belakang mengusahakan kewujudan Muafakat Nasional (MN), Khairuddin Aman Razali mendedahkan PAS sudah hampir meninggalkan Perikatan Nasional (PN).

Tapi malangnya kata penyandang ahli parlimen Kuala Nerus itu, perkara itu digagalkan ketika PAS sedang menunggu masa untuk mengumumkan keputusan yang dibuat.

Malah katanya, PAS juga beberapa kali sebelum itu menolak tawaran Umno untuk bergabung dalam pilihan raya seperti dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor.

"Ini realitinya yang ahli PAS kena terima, tak apalah akhirnya Allah buka hati sebelum pembubaran parlimen wujud semangat untuk berpakat (bergabung) semula.


"PAS mengusahakan pertemuan tok guru Abdul Hadi Awang (presiden PAS) dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi. Guna macam-macam saluran pujuk untuk pertemukan kedua-duanya.

"Akhirnya berjaya, dan Zahid beri syarat PAS kena tinggalkan PN. Kemudiannya keluar kenyataan media selepas itu PAS kata BN bukan musuh PAS.

"Kemudian dibuat genjatan senjata antara kedua-dua parti tak saling menyerang. Kemudian Majlis Syura Ulama PAS bermesyuarat dan keputusannya adalah setuju teruskan MN dan tinggalkan PN," katanya ketika berucap di majlis bersama jentera Umno Kuala Nerus di Kuala Terengganu, hari ini.

Tambah Khairuddin selepas itu Abdul Hadi pergi ke Iran sebelum segera pulang apabila parlimen dibubarkan.


"Tok guru terus jumpa dengan pimpinan Umno dan mengikut maklumat daripada Datuk Seri Zahid, PAS setuju untuk teruskan dengan MN. PAS tunggu nak isytihar hari Jumaat, seronok kita.

"Tetapi malangnya saya dimaklumkan ada pertemuan PN dan esoknya mesyuarat PAS pusat dan keputusannya PAS kekal dengan PN," dakwanya.

Khairuddin sebelum ini mengumumkan keluar daripada PAS dipercayai susulan isu-isu berkaitan dengan usaha menyatukan Umno dan PAS semua selepas parti itu menyertai PN.

Malah bekas menteri itu mengakui usaha menyatukan PAS dan Umno diusahakan sejak zaman Abdullah Ahmad Badawi menjadi perdana menteri dan diteruskan oleh Najib Razak. – Mkini





Join our Telegram Channel
Telegram