Khairuddin seru ahli PAS undi BN, bukan PN



Bekas pemimpin PAS Khairuddin Aman Razali secara terbuka meminta ahli-ahli parti itu serta orang Islam agar mengundi BN pada PRU kali ini.

Dia berkata ini kerana hanya BN yang mampu menghalang kemenangan PH, berbanding Perikatan Nasional (PN) yang menurutnya tidak mempunyai ahli yang ramai.

"Di kala PAS tidak bersedia untuk berpakat dengan Umno sedangkan matlamat bersama PAS dan Umno adalah menyekat kemenangan PH maka orang Islam tak ada pilihan, kena undi BN pada PRU5 kali ini.


"Sebab apa? Sebab menghalang mudarat PH adalah wajib. Mudarat mesti dihilangkan, sepatutnya mudarat PH dihilangkan dengan muafakat antara PAS dan Umno yang besar sokongannya, 3.4 juta (ahli Umno) campur sejuta (ahli PAS), jadi 4.4 juta orang.

"Tetapi di kala 4.4 juta sokongan tak berlaku, kita nak kena sokong (Umno) yang 3.4 juta orang. Jangan sokong (PAS) yang sejuta campur lagi entah berapa daripada Bersatu yang ada seratus ribu dua ratus ribu ahli saja," katanya ketika berucap di majlis bersama jentera BN Parlimen Kuala Nerus, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir adalah bekas menteri besar Terengganu Ahmad Razif Abdul Rahman.

Khairuddin sebelum ini dikenali antara yang menjadi antara tulang belakang mengusahakan kewujudan Muafakat Nasional (MN) dengan Umno.


Dia mengumumkan keluar daripada PAS dipercayai susulan isu-isu berkaitan dengan usaha menyatukan Umno dan PAS semua selepas parti itu menyertai PN.

Dia yang merupakan bekas setiausaha Majlis Syura Ulama PAS itu berkata, cara untuk menghalang kemenangan PH pada PRU15 hanyalah dengan memberi sokongan kepada BN.

"Untuk halang PH menang hanya (dengan undi) BN. PN yang tak ada jentera dan ahli PAS sejuta orang tak mampu nak sekat kemaraan PH. Undi yang kita bagi kepada PAS dan PN hanya pecahkan undi...

"Orang-orang PAS kena undi BN kali ini, pandangan saya orang PAS kekal dengan PAS jangan keluar parti, tapi (beri) undi kepada BN. Ahli-ahli PAS, pimpinan PAS kekallah istiqamah dengan PAS tapi PRU kali ini undi BN untuk halang mudarat PH," tegasnya. – Mkini





Please subscribe


 

Join our Telegram Channel
Telegram