Kota Bharu: Landskap politik di Kelantan semakin menarik menjelang hari penamaan calon apabila yang terkini dua penyandang Parlimen dari PAS yang dikatakan tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), mungkin akan bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN).
Desas desus mengatakan dua penyandang berkenaan adalah penyandang Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan penyandang Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.
Kedua-dua mereka dikatakan tidak dicalonkan pada PRU15, namun masih bertanding di kerusi berkenaan dipercayai menggunakan tiket BN.
Bagi Parlimen Tumpat, PAS dikatakan meletakkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad sebagai calon.
Manakala, di Parlimen Bachok pula, PAS dijangka meletakkan Dr Wan Martina Wan Yusuff sebagai calon di kerusi berkenaan.
Desas desus itu dikatakan hampir tepat apabila Nik Mohamad Abduh semalam memuat naik gambar bumi bewarna biru di Facebook sehingga mendapat reaksi balas warganet sebanyak 1,600.
Turut tersebar sejak pagi tadi poster ucapan tahniah kepada Che Abdullah kerana terpilih sebagai calon BN di Parlimen Tumpat.
Bagaimanapun, usaha penulis untuk mendapat reaksi kedua-dua penyandang Parlimen berkenaan setakat ini gagal apabila masing-masing tidak menjawab panggilan telefon.
Terdahulu, PAS enggan membuat sebarang spekulasi berhubung gambar bumi berwarna biru dimuat naik di Facebook Nik Mohamad Abduh Nik Abduh semalam.
ARTIKEL BERKAITAN:
- Khairuddin seru ahli PAS undi BN, bukan PN
- Hadi ke Iran sebelum tolak kerjasama dengan Umno, kekal bersama PN – Khairuddin
- Netizen teruja lihat bulan biru di FB Nik Abduh
- Kianat PAS dilaknat Allah – Hadi
- #PRU15: Nik Abduh, Che Abdullah tanding tiket BN?
- Sumber: BN 'simpan' Tumpat, Kuala Nerus untuk Che Lah dan Khairuddin
- #PRU15: PN gugurkan Nik Abduh, Che Abdullah
Join our Telegram Channel