Kianat PAS dilaknat Allah – Hadi



Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyifatkan mereka yang mengkhianat kepada parti tersebut akan dilaknat oleh Allah.

Menjawab soalan berhubung bai’ah (perjanjian) yang digunapakai oleh PAS, penyandang kerusi Parlimen Marang itu berkata bahawa bai’ah sedia ada tidak seperti zaman dahulu.

“Bersifat kesetiaan kepada parti, kepada perjuangan, tak boleh khianat

“Kita punya wadah Islam kita, tak boleh salah laku, tak boleh khianat pada parti, kalau khianat pada parti akan dilaknat oleh Allah… ini adalah bai’ah PAS,” katanya pada sidang media di bilik gerakan utama Perikatan Nasional di Arau, Perlis malam tadi.


Terdahulu, dia ditanya jika parti komponen PN - Bersatu perlu mengguna pakai bai’ah seperti yang diamalkan oleh PAS, Hadi menjawab terpulang kepada parti masing-masing kerana kedua-dua parti itu lebih kepada bersifat kerjasama.

“Terpulang kepada Bersatu… bai’ah ni untuk PAS saja.

“Dia parti Bersatu ada ‘aku janji’ yang dibuat. Terpulang kepada parti masing-masing, tak terikat. Kita lebih kepada bekerjasama,” katanya.

Sementara itu, dia turut diminta mengulas kenyataan bekas pemimpin PAS Khairuddin Aman Razali dua hari lalu yang menyeru supaya ahli PAS memberikan undi mereka kepada BN dan bukannya PN. PAS merupakan sebahagian daripada PN.


“Dia bukan orang PAS lagi. Kita (PAS) tak perlu jawab,” katanya.

Khairuddin sebelum ini mengumumkan keluar daripada PAS dipercayai susulan isu-isu berkaitan dengan usaha menyatukan Umno dan PAS semua selepas parti itu menyertai PN.

Dia yang adalah bekas setiausaha Majlis Syura Ulama PAS itu berkata, cara untuk menghalang kemenangan PH pada PRU15 hanyalah dengan memberi sokongan kepada BN. – Mkini


 

Join our Telegram Channel
Telegram