PBM gantung Zuraida, 12 ahli majlis tertinggi



Krisis kepimpinan dalam Parti Bangsa Malaysia (PBM) semakin meruncing apabila Larry Sng yang mendakwa masih lagi presiden parti yang sah, menggantung Zuraida Kamaruddin sebagai ahli parti itu.

Turut dikenakan tindakan yang sama ialah 12 ahli majlis tertingginya.

Mereka ialah Haniza Mohamad Taha, Dr Daroyah Alwi, Rahimah Majid, Dr Sathiskumar Govindaraju, Muhammad Saiful Bahari Sahari, Na’im Brundage, Abdul Aziz Abdul Kadir, Zakaria Abdul Rahim, Muniraa Abu Bakar, Chua Lian Chye, Roger Tan Seng Huat dan Albakri Salim.


Dalam satu kenyataan malam tadi, Sng berkata tindakan itu diambil kerana penglibatan berterusan mereka yang didapati menggugat kepentingan parti dan kepimpinannya.

“Saya menolak dan mengutuk muslihat politik yang telah menjejaskan kepercayaan kepimpinan saya dan telah menyebabkan banyak kekeliruan kepada ahli parti dan masyarakat umum.

"Oleh itu, jawatan mereka akan digantung sehingga jawatankuasa tatatertib ditubuhkan untuk meneliti perkara itu selepas pilihan raya," katanya sambil menambah mesyuarat majlis tertinggi akan diadakan Ahad ini di Sarawak untuk membincang dan menyelesaikan isu itu dengan segera.


Menurutnya lagi, individu yang digantung tugas itu telah dimaklumkan melalui surat dan mereka tidak akan dijemput untuk menghadiri mesyuarat itu.

Zuraida awal bulan ini “secara rasmi” dilantik sebagai presiden PBM, susulan mesyuarat majlis tertinggi parti itu.

Awal minggu ini, Sng, yang merupakan presiden pengasas PBM, menggantung setiausaha agung parti Hizwan Ahmad dan ketua penerangan Zakaria Abdul Hamid - kedua-duanya adalah sekutu Zuraida. – Mkini






Join our Telegram Channel
Telegram