Zuraida bukan Presiden PBM, 2 orang kuatnya digantung



PETALING JAYA: Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Larry Sng, mengumumkan penggantungan setiausaha agung parti dan ketua penerangan berkuatkuasa serta-merta.

Dalam kenyataan di Facebook, Sng berkata Hizwan Ahmad dan Zakaria Abdul Hamid digantung berhubung mesyuarat majlis tertinggi parti pada 7 Okt lepas, yang melantik Zuraida Kamaruddin sebagai presiden.

“Saya hanya dimaklumkan hasil mesyuarat itu selepas ia diadakan. Keputusan mesyuarat itu dikatakan telah melantik Zuraida sebagai presiden, sedangkan jawatan itu tidak pernah dikosongkan,” katanya, yang menambah mesyuarat itu dijalankan tanpa arahannya.


Hizwan dan Zakaria merupakan bekas ahli PKR dan dilihat orang kuat Zuraida.

Sng mengecam tindakan itu sebagai “muslihat politik”, dan berkata ia menjejaskan kepimpinannya dan menimbul kekeliruan dalam kalangan ahli PBM serta masyarakat umum.

“Oleh itu, jawatan mereka akan digantung sehingga jawatankuasa tatatertib ditubuhkan untuk meneliti perkara itu selepas pilihan raya.”

Beliau berkata, Timbalan Setiausaha Agung PBM Jenny Chiew akan menggantikan Nor Hizwan pada masa ini.


Semalam, Sng menegaskan beliau masih presiden PBM dan akan menandatangani surat watikah calon untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Menegaskan yang beliau tidak pernah meninggalkan jawatan nombor satu parti, Sng berkata beliau akan bertanding pada PRU15 atas tiket PBM.

Pemimpin dari Sarawak itu sebelum ini menegaskan tiada konflik antara beliau dan Zuraida, dan mahukan peralihan kuasa dijalankan mengikut “prosedur yang betul” bagi mengelak PBM berdepan sebarang masalah dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM). – FMT


ARTIKEL BERKAITAN:





Join our Telegram Channel
Telegram