ROS sahkan Sng presiden PBM, bukan Zuraida



Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mengesahkan Larry Sng masih sah presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang sah, berdasarkan rekod jabatan itu.

Perkara itu disahkan Ketua Pengarah ROS Mohd Nawardi Saad seperti dilaporkan BH Online, hari ini.

"Itu hal dalaman parti mereka, jika ada pertikaian mereka kena selesaikan sendiri dan ini tidak membabitkan ROS," katanya seperti dipetik.


Semalam Malaysiakini melaporkan krisis kepimpinan PBM semakin meruncing apabila Sng, yang mendakwa masih lagi presiden parti yang sah, menggantung keahlian Zuraida Kamaruddin.

Turut dikenakan tindakan yang sama ialah 12 ahli majlis tertingginya.

Mereka ialah Haniza Mohamad Taha, Dr Daroyah Alwi, Rahimah Majid, Dr Sathiskumar Govindaraju, Muhammad Saiful Bahari Sahari, Na’im Brundage, Abdul Aziz Abdul Kadir, Zakaria Abdul Rahim, Muniraa Abu Bakar, Chua Lian Chye, Roger Tan Seng Huat dan Albakri Salim.


Sng yang juga penyandang kerusi Parlimen Julau berkata tindakan itu diambil kerana mereka didapati berterusan menggugat kepentingan parti dan kepimpinannya.

Zuraida awal bulan ini “secara rasmi” dilantik sebagai presiden PBM, susulan mesyuarat majlis tertinggi parti itu.

Sng yang juga pengasas PBM sebelum ini yang turut menggantung setiausaha agung Hizwan Ahmad dan ketua penerangan Zakaria Abdul Hamid - kedua-duanya adalah sekutu Zuraida. – Mkini
Join our Telegram Channel
Telegram