Rahim Tamby Chik buat ‘come back’, mahu tanding di Hang Tuah Jaya



PETALING JAYA: Bekas ketua menteri Melaka Abdul Rahim Tamby Chik berhasrat membuat kemunculan semula dalam arena politik dengan bertanding di kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya jika mendapat restu daripada pimpinan Bersatu.
Ads by 

Meskipun kali terakhir bertanding pada pilihan raya umum 1995, bekas naib presiden Umno itu yakin dengan peluangnya menawan kerusi berkenaan daripada penyandangnya Shamsul Iskandar Mohd Akin daripada PKR pada PRU15.

Menurutnya, ini kerana masih ramai rakyat mengingati jasa beliau mentransformasi ekonomi Melaka ketika mentadbir negeri itu.


“Saya akan bertanding di (Parlimen) Hang Tuah Jaya, mungkin…kalau jadilah,” katanya menurut Astro Awani.

Rahim, ketua menteri Melaka keenam pernah menjadi Ahli Parlimen Alor Gajah serta ADUN Kelemak dan Masjid Tanah sebelum digugurkan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum 1999.

Beliau menyertai Bersatu pada Disember 2018 selepas 40 tahun berjuang dalam Umno.

Sementara itu, Rahim menjangkakan Umno tidak akan menang lebih 50 kerusi memandangkan berlaku perubahan “mindset” orang kampung yang muak memandangkan parti berkenaan berdepan masalah dalaman termasuk kes mahkamah melibatkan pemimpinnya.


Rahim berkata, sebagai orang lama dalam politik, beliau melihat Umno ibarat “sebuah rumah besar namun sudah buruk, berlubang, dipenuhi anai-anai dan sukar untuk dibaiki”.

“Dengan masalah dalaman, perpecahan dan rahsia bagaimana pemimpinnya menipu rakyat yang didedahkan secara undang-undang dan dalam mahkamah, orang dah muak.

“Pada perhitungan saya, selepas mendengar pandangan daripada sahabat, bacaan-bacaan…‘mindset’ orang kampung berubah. Bila ada media sekarang menghuraikan bagaimana kelakuan, perangai, watak pemimpin Umno, saya rasa kali ini mereka (rakyat) akan berhijrah,” katanya. – FMT



 

Join our Telegram Channel
Telegram