Rakyat boleh jadi berdosa jika tak mengundi – Hadi



KUALA LUMPUR: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menasihatkan semua rakyat Malaysia keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana ia adalah kewajipan, malah hukumnya boleh menjadi berdosa.

Jelasnya, kengganan mengundi boleh menjadi dosa dalam konteks berdiam diri dalam perkara yang benar atau perkara yang salah.

Ujarnya, rakyat perlu melantik pemimpin untuk mewakili mereka seterusnya membentuk kerajaan yang baik untuk mentadbir negara.


“Dalam amalan demokrasi moden, rakyat diberikan peluang untuk menentukan kepimpinan negara berdasarkan pengundian melalui saluran pilihan raya bagi memilih dasar kerajaan, dan pemimpin yang diwakili akan menentukan dasar serta amalan kerajaan.

“Maka, (tindakan) mereka yang tidak mengundi juga terlibat bagi memenangkan atau mengalahkan, bersetuju atau tidak bersetuju. Dengan kekurangan undinya adalah menentukan pendiriannya.

“Mereka juga terlibat dalam menentukan apa yang berlaku dalam kehidupan mereka, sama ada benar atau salah.

“Jika mereka berdiam diri terhadap perkara yang benar, maka hukumnya adalah berdosa dan jika berdiam diri dalam perkara yang salah juga adalah berdosa,” jelasnya menerusi perkongsian di Facebook pada Khamis.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkongsikan sejarah umat Islam yang boleh diambil iktibar yang mana dunia menyaksikan penindasan terhadap umat di bumi Palestin, apabila bangsa Arab meninggalkan perintah Allah agar mempertahankan Islam dan tanah sucinya.

“Sehingga sekarang umat Islam di Palestin masih memikul akibatnya yang perlu diambil iktibar.

“Almarhum Jeneral Mahmud Syit Khattab dari Iraq yang datang berperang di Palestin pada tahun 1948 pernah menceritakan dalam salah satu bukunya, bahawa beliau menyaksikan ramai dalam kalangan bangsa Arab yang berpeluk tubuh dan bergembira sahaja tanpa mempedulikan apa yang berlaku pada peringkat awalnya.

“Maka, setelah itu mereka menghadapi suatu bencana apabila dijajah dan diperhambakan secara nyata dan halus, sehingga mereka menjadi bangsa yang dihinakan walaupun kaya-raya,” ujar Abdul Hadi.


Katanya, bencana juga berlaku dalam pelbagai keadaan seperti penularan wabak, kesukaran mencari rezeki, pengangguran, kezaliman, rasuah, penipuan, kenaikan harga barangan, keruntuhan akhlak, gejala dadah, jenayah dan bencana alam.

“Ini adalah suatu amaran Allah S.W.T supaya kita bangkit mencegah kemungkaran yang semakin banyak, laksana (ibarat) banjir sehingga masuk ke dalam bilik rumah.

“Langkah untuk mencegahnya ialah dengan memilih kerajaan yang benar-benar menunaikan amanah Allah S.W.T, iaitu sebuah kerajaan yang berakidah, beriman dan berakhlak, bukan sahaja memandang dari sudut ekonominya.

“Akan tetapi, sekiranya tidak mempunyai iman dan akhlak, maka ekonominya juga akan runtuh, politiknya pula zalim dan menipu, lantas tiada keamanan dan keselamatan lagi,” tambahnya lagi. – Awani

 

Join our Telegram Channel
Telegram