Agong perkenan parti gabungan kemuka calon PM esok



PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah memperkenan supaya proses bagi ketua parti politik dan gabungan parti politik membentuk kerajaan baharu, termasuk mencalonkan nama perdana menteri dilanjutkan sehingga 2 petang, esok.

Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata titah perkenan Agong itu susulan daripada permohonan daripada ketua parti politik dan gabungan politik yang telah diterima pihak Istana Negara, hari ini.


“Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda menyeru dan menasihati seluruh rakyat bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal perdana menteri Malaysia ke-10 selesai,” katanya dalam kenyataan.

Fadil berkata, baginda turut mengingatkan bahawa pentadbiran negara masih berjalan seperti biasa di bawah pengurusan perdana menteri sementara, Ismail Sabri Yaakob, berdasarkan prinsip digariskan bagi kerajaan sementara.

“Seri Paduka Baginda menyeru rakyat untuk bersama mendoakan semoga proses pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal perdana menteri Malaysia ke-10 ini dipermudahkan dan berjalan lancar demi kepentingan negara.” – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram