Agong tahu semua MP BN tak sokong Muhyiddin jadi PM



KUALA KUMPUR: Yang di-Pertuan Agong maklum bahawa Barisan Nasional tidak menyokong Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, sebagai perdana menteri, tidak lama selepas Istana Negara memaklumkan ia akan buat keputusan dalam masa terdekat.

“Tiada mana-mana Ahli Parlimen BN yang telah memberikan sokongan terhadap pencalonan Muhyiddin sebagai perdana menteri Ke-10, dan pemakluman mengenai perkara ini telah dibuat kepada Agong,” kata Setiausaha Agung Zambry Abd Kadir, mengumumkan hasil mesyuarat Dewan Tertinggi BN hari ini.

Terdahulu, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata baginda akan membuat keputusan dalam masa terdekat mengenai siapa yang akan membentuk kerajaan, tidak lama selepas Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob, mendedahkan BN tidak menyokong Pakatan Harapan mahupun Perikatan Nasional untuk membentuk kerajaan.


Dalam kedudukan sekarang, PH memiliki wakil rakyat terbanyak iaitu sebanyak 82 orang, berbanding 73 orang PN.

Ismail berkata BN akan kekal sebagai pembangkang, meskipun sebelum ini gabungan itu dan PH dilaporkan sedang dalam perbincangan.

Zambryn dalam kenyataan mengesahkan kedudukan gabungan itu “kekal seperti sekarang”, namun ia sedia berbincang dengan pihak lain apabila perlu.

“Dewan Tertinggi…mengambil pendirian terbuka untuk berbincang dengan pihak-pihak yang berkenaan, bagi memastikan sebuah kerajaan dapat dibentuk demi kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, BN meminta semua pihak yang berkaitan agar bertenang. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram