Bersatu Jasin lumpuh, lebih 300 pemimpin tertinggi, ahli keluar parti, sedia bantu kemenangan BN #PRU15



MELAKA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Jasin didakwa lumpuh setelah sebahagian besar kepemimpinan bahagian dan cawangan parti itu mengumumkan keluar parti, berkuat kuasa serta merta.

Ketua Srikandi Bersatu bahagian terbabit, Azalina Abdul Rahman berkata, turut mengambil langkah sama adalah Timbalan Ketua Bersatu bahagian, Mustaffar Ahmad dan lebih 320 kepimpinan empat daripada enam Srikan di bahagian itu.

Menurutnya yang juga Ketua Wanita Perikatan Nasional (PN) Melaka, keputusan itu dibuat selepas melihat pemilihan calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak memperlihatkan pentingnya struktur parti.


“Malah kita dapat lihat ramai nama-nama calon juga tidak dikenali dan yang menghairankan apabila calon PRU15 bagi PN ini juga bukanlah ahli kepada mana-mana parti komponen PN.

“Calon diangkat dari parti musuh kepada PN itu sendiri yang kecewa apabila namanya tidak berada dalam senarai calon parti mereka,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Tambah Azalina, pemimpin pelapis yang dilihat lebih kuat bekerja membantu menaikkan nama Bersatu juga telah diketepikan.

“Jadi adalah jelas Bersatu tidak adil kepada pemimpin parti sendiri yang mana jika pemimpin parti sendiri tidak diberi ruang dan kepercayaan, bagaimana dengan nasib suara ahli bawahan,” ujarnya.


Ditanya adakah tindakan itu bermaksud mereka sedia membantu calon Barisan Nasional (BN) memenangi enam kerusi Parlimen yang ditandingi, termasuk calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Jasin Datuk Roslan Ahmad, beliau berkata, mereka terbuka untuk membantu.

“Ia sebenarnya terpulang pada individu, tapi kami bersedia membantu mereka (BN) adalah bukan Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Pada 30 Oktober lalu, Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dalam sidang media tergempar yang turut disertai puluhan penyokongnya mengumumkan keluar parti, sekali gus melepaskan semua jawatannya, berkuatkuasa serta merta.

Tindakan bekas Pengerusi PN Melaka itu berpunca apabila namanya digugurkan daripada calon Parlimen Tangga Batu walaupun pada peringkat awal telah dijanjikan bertanding di kerusi berkenaan oleh pucuk pimpinan tertinggi parti. – MG


ARTIKEL BERKAITAN:


 

Join our Telegram Channel
Telegram