BN janjikan kerakyatan untuk anak lahir di luar negara



Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi berjanji gabungan itu bersedia meminda Perlembagaan Persekutuan berkenaan hak kewarganegaraan anak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warganegara asing.

Perkara itu dinyatakan Ahmad Zahid ketika mengumumkan manifesto BN yang disiarkan secara dalam talian malam ini.

“Atas nama keterangkuman juga, kita tidak lagi mahu, anak-anak yang dilahirkan melalui perkahwinan campur, atau mereka yang berbeza identiti bangsa dan agama dinafikan hak untuk menjadikan Malaysia tanah air tercinta.

“Oleh itu, saya tegaskan di sini bahawa BN bersedia untuk meminda Perlembagaan Persekutuan berkenaan hak kewarganegaraan anak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warganegara asing.


“Ini kita lakukan atas kesedaran bahawa patriotisme dan nilai sayangkan negara itu hadir dari kerencaman dan keterangkuman,” katanya.

Pengumuman Ahmad Zahid itu merupakan pendirian yang berbeza dengan keputusan kerajaan sebelum ini yang menafikan kerakyatan bagi golongan terbabit.

Gubal Akta Pendanaan Politik

Dalam pada itu BN turut berjanji memastikan amalan politik di dalam negara diperkasakan melalui penggubalan Akta Pendanaan Politik.

Ahmad Zahid berkata, pelantikan jawatan utama negara seperti Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya akan melalui saringan Jawatankuasa Khas Parlimen.


"Melalui wakil mereka di Parlimen, rakyat akan diberikan mandat untuk meneliti dan terlibat dalam tapisan pelantikan jawatan awam terpenting di negara ini," katanya.

Berdasarkan dokumen “Perancangan Amal Dan Usaha” (PADU) yang dilancarkan malam ini, BN turut menggariskan usaha untuk memastikan kestabilan politik serta meningkatkan kecekapan prestasi institusi awam.

Antaranya mengkaji penurunan sebahagian bidang kuasa Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri bagi meningkatkan kecekapan dan mengukuhkan semangat Persekutuan-Negeri.

Selain itu, menghapuskan konflik kepentingan melalui pelaksanaan pemisahan jawatan dan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya, menubuhkan Jawatankuasa Belia Bagi Semakan Polisi di Parlimen dan menaik taraf Institut Integriti Malaysia (IIM) sebagai suruhanjaya bebas bagi mengukuhkan etika integriti institusi awam dan masyarakat. – Mkini




Join our Telegram Channel
Telegram