Hilang deposit #PRU14 bukan ukuran ditolak, kata calon PN Muar



MUAR: Calon PAS mewakili Perikatan Nasional (PN) Abdullah Husin menganggap parti itu mempunyai peluang lebih baik untuk menang di Parlimen Muar pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) walaupun pernah hilang wang deposit dalam pilihan raya lalu.

Pesuruhjaya PAS Johor itu berkata, situasi politik pada PRU14 dan PRU15 berbeza kerana tsunami politik kepada Pakatan Harapan (PH) tidak lagi berlaku dalam pilihan raya kali ini.

“Pada 2018 (calon PAS waktu itu kalah di Muar) barangkali disebabkan berlaku tsunami politik pada waktu itu dan ia tidak boleh dijadikan ukuran sebenar kerana dari 2018 hingga 2022 ini banyak perubahan berlaku.

“Kita buat culaan, maknanya rakyat sudah boleh terima PAS dan PN di Muar, ditambah pula kita menekankan soal integriti, telus dan stabil,” katanya kepada pemberita selepas melakukan walkabout di Pasar Petang Parit Jawa.


Katanya, rakyat sudah boleh melihat bagaimana PAS mentadbir Kelantan lebih 30 tahun, tiada seorang menteri besar dan exco dihadap ke mahkamah atas tuduhan rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya.

“Itu rekod baik yang PAS tunjukkan, rakyat boleh lihat ketelusan kita, integriti kita dan bebas rasuah. Barangkali kita di Muar boleh tekankan soal itu,” katanya.

Ditanya cabaran berdepan calon dua orang muda daripada BN dan Muda di Muar, Abdullah mengakui berlaku persaingan dan ia bukan halangan untuk beliau lebih berusia menang memandangkan pengalaman beliau sebelum ini sering berdamping kumpulan muda sebagai warga pendidik.

“Orang muda cerdas itu kelebihan orang muda tapi orang lama ada kelebihan juga, orang lama ini kelebihan dia dari sudut kebapaan dan saya bekas guru sekolah, bekas pengetua, di sana ada pengalaman sebagai pendidik kepada orang muda.


“Dua calon muda tak beri halangan, masing-masing ada kelebihan, saya tak pertikai calon mana-mana, tapi sifat kebapaan ini merupakan tempat orang muda bernaung dan pengalaman sebagai guru saya akan guna kelebihan itu untuk menarik pengundi muda, tak ada masalah,” katanya sambil memaklumkan akan turut menggunakan pengalamannya sebagai bekas wakil rakyat di DUN Puteri Wangsa mendekati pengundi muda.

Pada PRU14 lalu, calon PAS Parlimen Muar, Abdul Aziz Talib hanya mendapat 4,354 undi sekaligus hilang wang deposit selepas tewas kepada Syed Saddiq yang bertanding menggunakan logo PKR dan berjaya merampas kerusi Parlimen itu dari penyandang BN, Razali Ibrahim dengan majoriti 6,953 undi.

Pada PRU15, Parlimen Muar menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Syed Saddiq yang mewakili Muda, Abdullah dari PN dan BN diwakili ketua pemuda bahagian Mohd Helmy Abd Latif.

Untuk rekod Parlimen Muar mempunyai dua DUN iaitu Maharani dan Sungai Balang masing-masing dimenangi calon PAS dan BN dalam PRN Johor lalu. – FMT


ARTIKEL BERKAITAN:
 

Join our Telegram Channel
Telegram