Rusuhan di Tenom selepas pencalonan Peter Anthony ditolak



TENOM: Kekecohan yang berlaku di pusat penamaan calon PRU15 Parlimen Tenom semalam berpunca daripada penolakan pencalonan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Peter Anthony.

Pesuruhjaya Polis Sabah Idris Abdullah berkata, penolakan pencalonan itu dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan alasan Peter masih mempunyai kes mahkamah yang belum selesai.

Beliau berkata, polis tidak menahan mana-mana suspek susulan kejadian yang berlaku pada kira-kira 11.30 pagi semalam di Dewan DSP Antanom.


Keadaan kembali terkawal pada 2.38 petang.

“Akibat tidak puas hati, seramai 300 orang penyokong beliau (Peter) telah cuba merempuh masuk ke dewan (pusat penamaan)…pihak keselamatan telah bertindak menyuraikan penyokong daripada memasuki dewan.

“Satu perbincangan dilakukan antara peguam mewakili Peter, pegawai SPR dan polis supaya penyokong tidak bertindak liar…pada 12.32 tengah hari Peter keluar dewan dan meminta penyokongnya menerima keputusan SPR,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Susulan itu, katanya, Peter telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Tenom berikutan penolakan pencalonannya di Parlimen Tenom, dan beliau akan mengambil tindakan susulan berhubung perkara tersebut.


Polis turut menasihatkan orang ramai supaya kekal tenang dan tidak beremosi dengan kejadian itu.

Terdahulu tular di media sosial rakaman video kekecohan berlaku di luar pusat penamaan calon di dewan itu apabila penyokong parti itu merusuh sehingga memaksa anggota keselamatan melepaskan gas pemedih mata.

Peter dilaporkan berkata, beliau akan memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi esok berhubung pembatalan borang pencalonannya itu. – FMT








Join our Telegram Channel
Telegram