Kerajaan BN saja boleh dipercayai, kata Zaid



PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) berada pada kedudukan kukuh untuk memperoleh majoriti dan merampas semula Putrajaya pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang, kata Zaid Ibrahim.

“Kerajaan BN dipimpin Umno lebih dipercayai berbanding mana-mana alternatif lain yang ada. Umno satu-satunya berkebolehan melaksanakan janji manifestonya,” kata bekas menteri undang-undang itu kepada FMT.

Zaid berkata, Umno dan rakan komponen dalam gabungan Barisan Nasional (BN) “pastinya secara perlahan-lahan mengadaptasi realiti baharu di Malaysia” dan “bekerja keras untuk melaksanakan perubahan positif”, termasuk menyegarkan barisannya.

“Pilihan raya negeri Melaka dan Johor menyaksikan 74% calon muda. Proses meremajakan sedang berjalan. Pada PRU15, ramai ‘orang lama’ sudah digantikan” katanya.


Manifesto komprehensif

Zaid berkata, keutamaan BN adalah membantu golongan masyarakat terperangkap dalam segmen berpendapatan rendah.

“Skim bantuan asas pendapatan terkandung dalam manifesto sesuatu yang agak berevolusi kerana tidak pernah dilaksanakan sebelum ini,” katanya.

Satu daripada ikrar manifesto BN berjudul “Perancangan Amal dan Usaha” (Padu) merupakan usaha ke arah pembasmian kemiskinan dengan menyamaratakan semua pendapatan isi rumah di bawah kadar kemiskinan iaitu RM2,208.

Zaid juga merujuk kepada janji lain dalam manifesto yang dirangka untuk mengurangkan kos sara hidup termasuk penjagaan kanak-kanak dan pendidikan percuma, pendidikan tinggi percuma bagi anak muda dari segmen B40.

“BN juga akan menangani semua masalah pinjaman PTPTN yang mencengkam banyak keluarga di Malaysia,” katanya.

Katanya, manifesto itu juga menunjukkan komitmen BN untuk merevolusikan sistem pendidikan, sambil merujuk usaha menyediakan akses internet 5G kepada semua sekolah di seluruh negara dalam tempoh 18 bulan, termasuk penerapan silibus pengekodan komputer dan bergerak ke arah pengalaman pembelajaran digital.


Perubahan ke arah memacu semula ekonomi

Zaid berkata, hanya BN mempunyai kemampuan melaksanakan perubahan diperlukan dalam memacu semula ekonomi negara.

Tambahnya lagi, walaupun dengan hasrat terbaik, tiada satupun gabungan lain yang bersaing menguasai Putrajaya ada keupayaan menandingi pentadbiran BN.

“Menteri PH sangat amatur dalam pendekatan mereka. Mereka tidak mempunyai pengalaman menguruskan negara.

“Sepanjang 22 bulan berkuasa, mereka hanya berjaya meruntuhkan ekonomi. Mereka mengecilkan pendapatan kita dengan membatalkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan menakutkan pelabur asing, terutama dari China dan Timur Tengah.

“Mereka juga mencetuskan kemarahan India sehingga kepada peringkat eksport minyak kelapa sawit yang terjejas dengan ketara.”

“Selain itu, gabungan PH tidak stabil dan tidak mampu bertahan sehingga habis penggal,” katanya.

“Sama juga seperti kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang tidak cekap dan gagal menguruskan negara dan dengan cepat hilang kepercayaan Ahli Parlimen dan negara secara keseluruhannya,” kata Zaid.

“Malaysia tidak mampu untuk membiarkan semua ini berulang,” katanya.


Masyarakat pelbagai kaum dan sederhana

Zaid juga memberi amaran hanya BN dapat mengekalkan keharmonian masyarakat Malaysia yang benar-benar berbilang kaum dan sederhana.

“Penolakan kepada BN menjurus kepada perpecahan undi berdasarkan kaum, yang mana pengundi Melayu menukar sokongan mereka kepada PAS berbanding PH.

“Kesannya agak buruk dan perlu dielakkan sama sekali,” katanya. – FMT

 

Join our Telegram Channel
Telegram