Pelajar raba bahagian sulit kanak-kanak didakwa



MELAKA - Seorang pelajar institut kemahiran didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan, bulan lalu.

Muhammad Adib Hishamuddin, 20, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang sedang menuntut dalam jurusan elektrik didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun.


Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan KS 1/5, Taman 1 Bukit Beruang, di sini, antara jam 4 petang hingga 9 malam pada 14 November lalu.

Tertuduh turut didakwa atas satu lagi pertuduhan sama iaitu melakukan amang seksual fizikal dengan cara meraba bahagian sulit mangsa sama di tandas awam dan bilik persalinan perempuan di sebuah kompleks tenis di Ayer Keroh pada jam 12 tengah hari, 20 November lalu.

Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual terhadap kanak-kanak 2017.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebat.


Tertuduh dipercayai berkenalan dengan mangsa melalui media sosial sejak beberapa bulan lalu.

Terdahulu, Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, N.Sivashangari memohon jaminan sebanyak RM10,000 dikenakan terhadap tertuduh mengambil kira kesalahan dilakukan begitu serius kerana mangsa merupakan kanak-kanak.

Manakala tertuduh diwakili peguam Andrew Lourdes.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 11 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta diarahkan untuk tidak menganggu mangsa yang juga saksi pendakwaan sehingga kes selesai. – Sinar



Join our Telegram Channel
Telegram