PANAS: Kerajaan setuju tubuh RCI siasat buku Tommy Thomas



PETALING JAYA: Jemaah Menteri bersetuju dengan cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai dakwaan dalam buku memoir bekas peguam negara Tommy Thomas bertajuk “My Story: Justice In the Wilderness”.

Menteri Undang-Undang Azalina Othman dalam satu kenyataan berkata, RCI itu bertujuan untuk mencari kebenaran dan mengemukakan syor kepada kerajaan untuk reformasi institusi perundangan negara.

“RCI ini juga bukannya untuk mencari kesalahan mana-mana pihak.


“Penubuhan RCI ini adalah selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) yang terletak di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Katanya, laporan Pasukan Petugas Khas Siasatan terhadap dakwaan-dakwaan dalam buku itu dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

“Selepas meneliti syor dan cadangan dalam laporan itu Jemaah Menteri bersetuju antara lainnya penubuhan RCI bagi meneliti perkara tersebut secara holistik.

“Cadangan Terma Tauliah RCI ini mempunyai skop yang lebih luas dan tidak terhad kepada syor-syor yang dikemukakan oleh Pasukan Petugas Khas. Terma tauliah yang terperinci, keahlian dan tempoh RCI ini akan dicadangkan kemudian oleh kerajaan,” katanya.


Menurutnya, kerajaan memandang serius terhadap dakwaan pelanggaran tanggungjawab profesional suatu jawatan tertinggi kerana ketelusan dan akauntabiliti adalah asas kepercayaan rakyat kepada sistem keadilan serta institusi kerajaan.

Buku tulisan bekas peguam negara itu diterbitkan pada Jan 2021 dengan pelbagai kontroversi, menyebabkan kerajaan pada 8 Okt 2021 menubuhkan pasukan petugas khas, untuk menjalankan kajian awal ke atas pendedahan terkandung dalam buku tersebut.

Pada 13 Okt tahun lalu, kerajaan menyahklasifikasi laporan pasukan petugas khas itu, antara lain mengesyorkan supaya Thomas disiasat atas kemungkinan pelbagai kesalahan. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram