Lupus 6 juta dos vaksin: Siapa order? Siapa untung, soal Puad



Ahli Majlis Tertinggi Umno Puad Zarkashi memuntut jawapan mengenai pembaziran dos vaksin Covid-19, seperti yang didedahkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam.

“Amat mengejutkan bila PM umum semalam, enam juta dos vaksin penggalak Covid-19 tidak digunakan. Ia terpaksa dilupuskan. Bukankah itu pembaziran?

“Berapa banyak kerugian? Siapa yang order (pesan vaksin itu). Siapa pula yang untung.


“Kenapa kempen penggunaan gagal. Siapa yang bertanggungjawab?” soalnya dalam satu kenyataan di Facebook pagi ini.

Pada sidang media semalam, Anwar menasihatkan orang ramai supaya mengambil dos penggalak vaksin Covid-19 bagi melindungi diri mereka daripada wabak koronavirus.

Perdana menteri juga mendedahkan bahawa rekod Kementerian Kesihatan menunjukkan hanya 49 peratus daripada rakyat yang telah mengambil dos penggalak mereka setakat ini.

Anwar berkata dos penggalak tidak mendapat sambutan seperti dos pertama dan kedua., menjadikan negara mempunyai lebihan enam juta dos vaksin.


Mengulas lanjut, Puad menggesa Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah supaya tampil menjelaskan perkara itu.

“DG Kesihatan kena jawab. Rakyat ingin tahu.

“Kerajaan baru mesti siasat kerana PM sendiri yang dedahkan,” katanya lagi. – Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram