Mungkin tanding PRN, tubuh parti baharu – KJ



PETALING JAYA: Bekas ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin tidak menolak kebarangkalian menubuhkan parti politik baharu susulan pemecatannya daripada UMNO baru-baru ini.

Khairy juga tidak menolak kemungkinan sekiranya beliau bertanding sebagai calon dalam parti lain atau Bebas pada pilihan raya negeri (PRN) yang melibatkan enam negeri tahun ini, iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Menurut bekas Menteri Kesihatan itu, beliau kini sedang menilai setiap tawaran diterimanya selepas ‘tragedi’ yang menimpanya, namun mengakui keputusan bakal dibuat adalah berat dan memerlukannya untuk menimbang setiap perkara dahulu.

“Ia sentiasa ada pilihan sama ada memasuki parti politik sedia ada atau menubuhkan parti sendiri. Namun, sekarang saya dalam mood mendengar tentang apa pihak lain nak cakapkan kepada saya.


“Jadi biar saya berjumpa dan dengar dahulu apa yang pihak-pihak itu mahu katakan,” katanya dalam temubual rancangan The Breakfast Grille dikendalikan saluran radio BFM.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Khairy dan bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar dipecat daripada UMNO berikutan pelanggaran disiplin sewaktu PRU15.

Selain itu, beberapa pemimpin lain turut digantung selama enam tahun termasuk Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan; bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Salim Mohd Sharif dan Ketua Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.

Susulan daripada, Perikatan Nasional (PN) mengatakan mereka bersedia menerima pemimpin UMNO yang dikenakan tindakan dipecat oleh parti tersebut.


Malah, pengerusi PN yang juga bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut secara terbuka menunjukkan keterbukaannya menerima Khairy untuk memasuki Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sekiranya beliau mengemukakan permohonan.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, antara kritera parti yang menjadi pilihannya adalah sejajar dengan wawasannya sendiri demi negara iaitu sentiasa bersifat inklusif, progresif serta mempunyai urus tadbir yang baik.

“Ia juga perlu sebati dan mempunyai keserasian. Sudah pasti memasuki parti lain akan berasa janggal pada mulanya.

“Namun, itulah yang dimaksudkan dengan politik. Ia mengenai memenangi hati dan meyakinkan rakyat, ia sesuatu yang saya bersedia tetapi perlu selari dengan wawasan diri saya,” katanya. – Utusan




Join our Telegram Channel
Telegram