Pengetua didakwa amang seksual, rogol pelajar 16 tahun



Kuala Terengganu: Seorang bekas pengetua dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan berkomunikasi secara seksual, melakukan amang seksual fizikal dan merogol pelajarnya.

Tertuduh, Rosli Abd Rahman, 58, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas 13 pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa berkomunikasi secara seksual dengan mangsa yang ketika kejadian berusia 16 tahun lapan bulan.


Tertuduh turut berdepan pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di sekitar daerah ini dan Marang antaraNovember 2020 hingga November 2021.

Bagi perbuatan itu, tertuduh berdepan lima pertuduhan mengikut Seksyen 376 (2) (f) Kanun Keseksaan dan empat pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTKK) 2017.

Dia turut didakwa mengikut dua pertuduhan mengikut Seksyen 11 (a), satu pertuduhan mengikut Seksyen 14 (c) dan satu pertuduhan Seksyen 14 (d) AKSTKK 2017.


Bagi semua pertuduhan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara antara tiga tahun hingga 30 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 20 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 bagi semua pertuduhan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Hayyatuddin Muhamad. – Hmetro



Join our Telegram Channel
Telegram