Shamsubahrin didakwa tipu Ab Rauf jual kereta mewah, guna Datuk palsu



Pengasas Perkhidmatan Premium Big Blue Taxi Shamsubahrin Ismail hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas pertuduhan menipu menjual kenderaan mewah serta menggunakan gelaran Datuk palsu.

Tertuduh yang berusia 57 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Shamsubahrin dituduh memperdaya Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, 62, bagi mendapatkan kenderaan jenis Toyota Alphard model 2019 berharga RM180,000 dan nombor pendaftaran kenderaan khas VVP 7 sehingga mangsa menyerahkan wang tunai RM95,000 yang mana mangsa tidak akan menyerahkan wang kepada tertuduh sekiranya tidak diperdayakan.


Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Speaker Dewan Negeri, Dewan Undangan Negeri Melaka, Aras 2, Blok Laksamana, Seri Negeri pada 7 Dis 2021 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Shamsubahrin didakwa menggunakan gelaran dan kehormatan sebagai Datuk untuk tujuan keuntungan peribadi tanpa kebenaran bertulis oleh Ketua Menteri di tempat dan masa yang sama.

Dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 3(1)(a) Enakmen Lambang-lambang dan Nama-nama (Mencegah Penggunaan Yang Tidak Betul) 1981 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 5 enakmen sama.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak kurang daripada RM250,000 dan tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak kurang setahun atau maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.


Timbalan Pendakwa Raya Aliff Asraf Anuar Sharuddin mencadangkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan serta pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh perlu melaporkan diri setiap bulan di balai polis berdekatan.

Peguam Loh Chon Mee memohon agar jaminan dikurangkan memandangkan tertuduh mempunyai empat lagi kes yang masih berjalan di Mahkamah Kuala Lumpur dan Selangor, membabitkan jumlah jaminan mencecah RM110,000.

Mahkamah membenarkan jaminan RM30,000 bagi kedua-dua pertuduhan serta membenarkan syarat tambahan dimohon pendakwaan dan menetapkan 7 Feb untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. – Bernama

 

Join our Telegram Channel
Telegram